Penyerang Leicester City, Jamie Vardy berkata beliau dan rakan-rakan tetap akan berhadapan dengan Cardiff City sebagai tanda penghormatan kepada pemilik kelab yang meninggal dunia dalam nahas helikopter minggu lalu.
Vichai Srivaddhanaprabha dan empat lagi mangsa terkorban dalam nahas helikopter yang terhempas di perkarangan Stadium King Power pada 27 Oktober lalu.
“Kami harus memastikan beliau berasa bangga,” ujar Vardy.
Perlawanan menentang Cardiff City pada malam ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah perlawanan pertama melibatkan Leicester sejak kejadian tersebut.
Satu lagi perlawanan dalam saingan Piala Carabao menentang Southampton yang sepatutnya diadakan pada pertengahan minggu ini telah ditanggukan ke 27 November hadapan.
“Semua pihak sepakat dalam hal ini. Kami mahu bersedia untuk perlawanan ini yang kami anggap penting.
“Ia keputusan yang sukar untuk berhadapan Cardiff. Tetapi kami tahu Vichai pasti mahukan perkara yang sama. Maka ia keputusan yang mudah untuk semua.
“Setiap pemain dan kakitangan di kelab ini mahu meneruskan perlawanan menentang Cardiff. Kami harus memastikan bahawa kami akan membuatkan mendiang bangga dengan aksi kami di atas padang,” ujar Vardy lagi.
Skuad Leicester, dan pihak pengurusan akan terbang ke Bangkok selepas selesai perlawanan menggunakan jet yang disewa khas.
Mereka dijadualkan akan berada di Bangkok selama 36 jam untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Vichai sebelum kembali ke England untuk persiapan menentang Burnley pada Sabtu hadapan.