Santiago Solari menikmati kemenangan pertama pada perlawanan sulung Real Madrid di bawah kendalian beliau selepas Los Blancos menang 4-0 bertemu Melilla dalam saingan Copa Del Rey, awal pagi tadi.
Kemenangan yang meningkatkan moral para pemain selepas dibelasah Barcelona pada minggu lalu serta kehilangan khidmat Julen Lopetegui yang dipecat.
Pemain pertahanan, Nacho Fernandez menegaskan bahawa para pemain akan berjuang habis-habisan demi Solari walaupun beliau hanya hadir sebagai pengendali sementara buat Real Madrid.
‘’Kami akan bekerja seperti dia (Santiago Solari)akan berada disini untuk sepenuh musim. Dia datang dari sini (Real Madrid), dia merupakan seorang yang berpengalaman dan memenangi kejuaraan bersama Real Madrid.’’
‘’Kami, para pemain tidak mahu membuat sebarang keputusan dan kami akan melihat apa yang akan terjadi nanti (pengganti kepada Lopetegui) tetapi dia merupakan seorang jurulatih yang hebat.’’
‘’Pasukan masih bersama Lopetegui tetapi kami tidak bernasib baik. Sekarang kami mempunyai jurulatih baharu dan kami akan berjuang hingga ke nafas terakhir untuk dia, juga.’’
Karim Benzema, Marco Asensio, Alvaro Odriozola dan Cristo Gonzalez Perez masing-masing menyumbangkan satu jaringan untuk membantu Real Madrid meraih kemenangan menentang Melilla.
Aksi dalam saingan Copa Del Rey awal pagi itu boleh dikatakan sebagai pemanas badan buat Solari apabila sekadar bertemu pasukan kerdil di saingan domestik.
Tugasan sebenar yang bakal dihadapi beliau adalah dalam aksi La Liga pada hujung minggu ini dengan Real Madrid dijadualkan bertemu Real Valladolid di Santiago Bernabeu.
Kredit foto: managingmadrid