Pertembungan penuh emosi bakal berlangsung awal pagi nanti dalam saingan EFL Carabao Cup apabila Chelsea bakal menanti kunjungan Derby County di Stamford Bridge.
Ini kerana kita akan dapat melihat kehadiran legenda Chelsea, Frank Lampard yang kini membimbing Derby County bersama-sama dua orang pemain The Blues yang dipinjamkan ke kelab tersebut iaitu Mason Mount dan Fikayo Tomori.
Jika kebiasaannya pemain yang dipinjamkan tidak dibenarkan beraksi apabila menentang pasukan asal mereka, tetapi bagi Chelsea, Mount dan Tomori telah dibenarkan untuk beraksi.
Mengulas mengenai perkara tersebut, penolong pengurus dan juga merupakan seorang lagi legenda Chelsea, Gianfranco Zola menolak tanggapan bahawa mereka membuat keputusan tersebut untuk membantu Frank Lampard.
”Soalan yang bagus. Tidak, ia bukan berkaitan perkara tersebut. Saya boleh mengatakan bahawa bukan kerana itu. Ini kerana kami percaya di akhir nanti adalah Mason (Mount) dan (Fikayo) Tomori akan berkembang sebagai pemain.”
”Kami percaya dengan pengalaman beraksi menentang kami nanti, ia memberikan peluang buat mereka untuk lebih cepat meningkat.”
”Lebih banyak perlawanan mereka bertemu kelab Liga Perdana Inggeris akan membuatkan mereka lebih mendapat pengalaman dan kami juga dapat membuat penilaian yang lebih baik buat mereka berdua.”
”Ini merupakan peluang terbaik untuk melihat aksi mereka di hadapan kami dan kami akan menggunakan peluang tersebut.”
”Ia penting untuk melihat dua pemain ini beraksi serta memberikan indikasi yang baik buat tahap mereka.”
”Tetapi pada masa hadapan tidak bermakna kami akan melakukan perkara yang sama. Terdapat banyak perkara yang dipertaruhkan.”
Kredit foto: The League Magazine