Rose FC gagal menyangkal jangkaan awal sebelum perlawanan apabila lunyai dibelasah 11-0 oleh pendahulu kumpulan A, Ultimate FC dalam saingan KVL M5 di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya malam semalam.
Testimoni kelas Ultimate yang terlalu jauh untuk digapai Rose dapat dilihat dari aksi 20 minit pertama lagi. Dua gol berjaya dijaringkan dan ini tidak termasuk 6 lagi percubaan tepat yang terpaksa diselamatkan oleh penjaga gol Rose, M. Nishenraj untuk mengelak jumlah bolos yang lebih memalukan.
Seawal minit ke-2 lagi, Jacque Faye sudah membuka akaun gol beliau apabila mudah menampan masuk bola hantaran lintang dari Hafif Jazimin di sebelah kanan. 4 minit kemudian Jacques menjadikan kedudukan 2-0 menerusi anatomi gol yang sama dan penyumbang sama.
Sepanjang 20 minit pertama ini, Rose hanya mampu menguji penjaga gol Ultimate, Afiff Aizad sebanyak 2 kali – dan kesemuanya berjaya ditepis dengan baik.
Dominasi Ultimate jelas sukar digugat oleh Rose. Pasukan dari Kajang ini nyata ampuh di semua bahagian. Di bahagian pertahanan, Elvenson Enson dan 3 rakan barisannya tidak mempunyai sebarang masalah menangani ‘ancaman’ Aiman Mustaqim dan Ammar Afiq. Di bahagian tengah, tiada seorang pun pemain Rose yang mampu menandingi intensiti Steven Raj. Di bahagian serangan, fizikaliti dan kelajuan gandingan Jacque Faye serta Chukwu Chijioke terlalu mudah menewaskan pertahanan Rose.
Maka tak hairanlah 4 lagi gol berjaya dijaringkan oleh Ultimate sebelum rehat separuh masa pertama. Khairol Abdul Latiff menambah gol ketiga Ultimate menerusi rembatan jarak jauh minit 21’ sebelum Jacque dan Chijioke menambah baki 3 gol.
Selepas separuh masa kedua dan ketinggalan 0-6, Rose masih tidak mampu memberikan saingan kompetitif kepada lawan mereka.
Pada minit 46’, giliran Hafif Jazimin pula mencetak nama sebagai penjaring sebelum CJ menambah 2 lagi gol untuk menjadikan kedudukan menjadi lebih memalukan buat Rose: 9-0.
Babak seterusnya lebih berkisarkan kepada cabaran sama ada Ultimate mampu memecah rekod jaringan terbesar dalam satu perlawanan yang juga dicatat oleh mereka ketika membelasah Sala O FC 11-0 pada 2 minggu lepas.
Pasukan bimbingan Fitri Ziyadi ini gagal memecahkan rekod jaringan terbanyak ciptaan mereka sendiri. Tetapi setidak-tidaknya mereka berjaya menyamai rekod itu apabila Asyraf Abdul Wahaid dan Fadhil Azmin menambah lagi 2 gol untuk menamatkan perlawanan dengan jaringan 11-0.
Pemain terbaik perlawanan: Jacque Faye (Ultimate FC)