Beraksi di peringkat tertinggi merupakan impian bagi semua pemain bola sepak professional. Bagi pemain Malaysia, ia merupakan satu kebanggaan apabila mendapat tawaran rasmi untuk beraksi dengan kelab dari luar negara.
Dalam era bola sepak moden, hanya ada beberapa pemain tempatan yang pernah berani mencuba nasib di luar negara namun sayangnya tidak sempat untuk menunjukkan bakat sebenar, mereka diminta atau terpaksa pulang ke tanah air sehingga akhirnya menamatkan karier di liga tempatan.
Enggan membenarkan situasi itu berlaku lagi, sebuah agensi bola sepak tempatan (Football Agent Malaysia) sedang mencari pemain muda yang berusia 19 tahun hingga 21 tahun untuk dibawa ke eropah beraksi dengan sebuah kelab dari divisyen 1 Sweden.
Antara kriteria yang diperlukan oleh pihak agensi tersebut ialah pemain muda ini haruslah mempunyai pengalaman beraksi dalam liga yang diiktiraf oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seperti Piala Belia, Piala Presiden, Piala FAM, Liga Premier atau Liga Super dan sekurang-kurangnya telah menjaringkan 10 gol pada tahun ini.
Malah, gaji yang ditawarkan juga sangat berbaloi untuk pemain muda seperti mereka iaitu sekitar €4,000 hingga €10,000 (RM20K hingga RM48K) termasuk kemudahan penginapan dan pengangkutan.
Penulis melihat ini adalah peluang keemasan kepada pemain skuad bawah 19 dan 23 tahun kebangsaan yang beraksi dalam saingan AFC tahun ini untuk mencari pengalaman baharu dan mengembangkan karier bola sepak mereka di eropah.
Jika terpilih, mereka bukan akan didaftarkan sebagai pemain import di slot Asia atau Asean sebaliknya akan didaftarkan sebagai pemain biasa seperti yang kita lihat peraturan-peraturan di liga utama Eropah (EPL dan sebagainya).
Menurut mereka, mana-mana pemain tempatan yang berminat boleh menghantar video aksi masing-masing serta transfermarket (jika ada) melalui laman facebook (Football Agent – Malaysia) atau email kan permohonan ke [email protected].
Persoalannya, siapakah pemain muda tempatan yang mempunyai rekod jaringan 10 gol pada tahun ini?