Perlawanan membabitkan skuad B-19 negara menentang Tajikistan dalam saingan Kejohanan AFC B-19 semalam mendapat perhatian ekoran kecederaan yang dialami oleh pemain pertahanan lawan, Zievuddina Fuzajlova.
Fuzajlova dikatakan mengalami kecederaan patah kaki selepas rempuhan oleh pemain negara, Nabil Hakim Bokhari.
Nabil Hakim turut dilayangkan kad merah ekoran insiden tersebut.
Perlawanan yang disiarkan secara langsung itu turut memaparkan kaki Fujavlova longlai, seakan-akan patah.
Berikutan itu, tular di medium media sosial rakaman x-ray kaki pemain tersebut yang kononnya mengesahkan kecederaan yang dialami oleh pemain itu.
Bagaimanapun, rakaman x-ray itu tidak betul sama sekali dan hanya ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sebenarnya Fuzajlova tidak mengalami kecederaan seteruk yang disangka.
Dalam muat naik di laman Facebook oleh Persatuan Bola Sepak Tajikistan, mereka mengesahkan pemain tersebut mengalami kecederaan terkehel buku lali.
Fuzajlova terus dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan yang mengerikan itu semalam untuk menjalani rawatan.
Doktor yang merawat beliau turut mengesahkan tiada retak atau tulang yang patah di kaki kanan Fujajlova selepas ujian MRI turut dilakukan.
Berikutan itu, pemain tersebut dijangka akan pulih sepenuhnya selepas menjalani proses rawatan untuk tempoh dua bulan setengah berikutnya.
Dalam perkembangan sama, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengharapkan agar pemain Tajikistan itu cepat sembuh daripada kecederaan yang dialaminya melalui satu muat naik di laman Facebook, lewat malam tadi.
Semoga Zievuddina Fuzajlova cepat kembali pulih seperti sedia kala dan kembali beraksi untuk pasukan negara di masa hadapan.