Sekumpulan penyokong Perak yang tidak pernah luntur semangat bagi memberikan sokongan buat skuad The Bos Gaurus dan menggelarkan diri mereka sebagai ‘The Supporters‘, menyeru semua penyokong yang hadir ke perlawanan akhir untuk menjadikan Stadium Shah Alam sebagai ‘lautan kuning’ pada Sabtu ini.
Semboyan bagi misi untuk ‘menguningkan’ Stadium Shah Alam telah diaktifkan oleh The Supporters sejak malam semalam dengan beberapa ‘hashtag’ yang kian tular dalam kalangan penyokong bola sepak Perak.
Keterujaan ini sudah pastinya dirasai seluruh pelusuk penyokong di negeri ‘Wan Lebor’ itu selepas kali terakhir Perak melayakkan diri ke perlawanan akhir adalah pada 11 tahun lalu.
Ketika itu, Perak menempah pertemuan menentang Kedah dalam saingan final Piala Malaysia 2007 yang menyaksikan Kedah berjaya menjulang piala dengan kemenangan 3-0.
Penulis sempat menghubungi wakil The Supporters, Fareez Salehudin bagi mengulas mengenai misi tersebut.
”Kami menggelarkan 27 Oktober ini sebagai ‘YellowDay’ bagi penyokong-penyokong yang akan turun ke Shah Alam untuk memberikan sokongan buat pasukan Perak.”
”Warna kuning dipilih selepas mengambil kira bahawa pasukan Terengganu sudah pasti akan mengenakan warna putih dan hitam sebagai warna utama mereka.”
”Jika para penyokong pasukan Perak memakai baju berwarna kuning, ini bermakna Stadium Shah Alam akan diwarnai oleh warna bendera Perak iaitu putih, kuning dan hitam.”
”Dan dari segi psikologinya penyokong kita (Perak) sudah menang kerana akan terbentuknya warna bendera Perak di Shah Alam.”
Dalam pada itu, Fareez turut mengakui penantian yang begitu lama menjadikan misi ini lebih teruja untuk direalisasikan.
”Sudah 11 tahun sudah kami menunggu saat ini. Akhirnya impian tercapai setelah lama bersabar dengan pasukan. Inilah masanya untuk kami menunjukkan cara sokongan di kelas yang tersendiri. Akhir kata ‘moh’ kita kuningkan Shah Alam nanti.”
Perak berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas menumpaskan Sabah di peringkat separuh akhir dengan aggregit 7-2 manakala Terengganu mencipta kejutan menewaskan gergasi selatan, Johor Darul Ta’zim 3-2.
Kredit Foto: Arena Seladang