Jaringan pada masa kecederaan dihasilkan Nik Mohd Syukri mengecewakan Subang City FC yang terikat 1-1 bertemu Gombak Hypernova FT dalam saingan kumpulan A Selangor Champions League 2018 di Arena MPSJ, Subang Jaya, sebentar tadi.
Asyiff Zulkefli pantas meletakkan Subang City di hadapan seawal minit kedua berpunca dari kesilapan ketua pasukan Gombak Hypernova FT, Arih Amri Amron yang gagal mengawal bola dengan baik sekaligus berjaya dirampas Muhammad Syafiq Abdul Hamid.
Syafiq kemudiannya melorongkan bola buat Asyiff yang dengan tenang melepaskan rembatan dari jarak dekat untuk membuka tirai jaringan.
Corak permainan menghiburkan diperaga kedua-dua pasukan selepas itu dengan serangan yang mengancam dilancarkan ke kubu lawan masing-masing.
Muhammad Fahzrul Affan Nurul Anuar memperoleh peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-11 apabila beliau melepaskan rembatan hasil sepakan percuma, namun percubaan tersebut ditepis penjaga gol Subang City FC, Muhammad Firdaus Shukor.
Subang City pula melakukan serangan balas pantas menerusi larian pantas dari Syafiq Hamid yang kemudiannya dinafikan Muhammad Aidil Iskandar Anuar di gawang Gombak Hypernova.
Ketangkasan Firdaus Shukor mengemudi gawangnya begitu terserlah apabila penjaga gol berusia 30 tahun itu berjaya menafikan dua percubaan dari Abdul Hakim Siswazair.
Gombak Hypernova FT terus memperkemaskan aksi pada babak kedua dengan melancarkan serangan-serangan berbahaya ke kubu Subang City. Namun, penyudah kurang berkesan nyata menghampakan mereka.
Subang City yang sesekali mengasak turut mengalami nasib yang sama dan gagal untuk menambah jaringan.
Ketika Gombak Hypernova dilihat bakal mengalami kekalahan kelima, Nik Mohd Syukri berjaya menyelamatkan kelab tersebut dengan jaringan yang dihasilkan pada masa kecederaan untuk memberikan mata pertama buat mereka.
Pemain terbaik perlawanan: Zakuan Baharudin (Gombak Hypernova FT)