Dalam sidang media selepas skuadnya tewas 1-2 kepada Arab Saudi, Bojan Hodak ada menjelaskan yang pemain-pemainnya penat akibat terlalu banyak menekan pihak lawan.
Turut dibangkitkan oleh Hodak adalah isu teknik pemainnya yang masih ketinggalan berbanding pasukan-pasukan elit lain yang menyebabkan para pemainnya menjadi penat.
Perkara ini turut diakui oleh pemain tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat ketika ditanya media berhubung kekalahan tersebut. Jelas, isu penat dan kecergasan pemain menjadi sebab kekalahan.
“Selepas 20 minit kami menjadi penat akibat terlampau menekan lawan. Kami hilang fokus dan kemudian melepaskan gol.
“Maafkan kami atas kekalahan ini, ini merupakan kali pertama kami bersaing di kejohanan ini, jadi kami sedikit gementar.
“Kami akan berikan yang terbaik dalam perlawanan seterusnya,” tekad pemain berusia 19 tahun itu.
Adakah Hodak tersilap langkah dalam memberikan arahan taktikal kepada anak-anak buahnya? Mungkinkah cubaannya untuk menekan pihak lawan telah memakan diri?
Selain itu, Hodak turut menjelaskan mengenai status penyerang berbakat, Akhyar Rashid yang tidak disenaraikannya dalam kesebelasan utama dalam perlawanan tempohari.
“Kali terakhir dia (Akhyar) beraksi sepanjang 90 minit adalah pada September lalu. Dia tidak cukup cergas dan dia juga tidak bermain sepenuh masa ketika bersama skuad kebangsaan.
“Jadi saya telah berikan kepadanya 30 minit tadi dan dia nampak bergelut. Jika dia bermain dari awal, adakah ia baik untuknya? Tentunya tidak,” jelas Hodak kepada media.
Akhyar adalah antara tonggak penting skuad B-19 dan juga telah beraksi bersama skuad B-23 serta skuad senior bersama-sama Nik Akif Syahiran. Mungkin ini juga adalah penyumbangnya.
Selain itu, di Kedah, Akhyar jarang sekali mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan dengan hanya 8 penampilan dan ini juga mungkin salah satu faktor mengapa dirinya kurang cergas.
Hodak perlu segara mencari solusi segera apabila berdepan dengan Tajikistan dalam perlawanan kedua pada Selasa depan. Skuad muda negara tidak boleh kalah lagi.
Bagaimana Hodak akan atasi masalah kecergasan dan penat dikalangan para pemainnya yang telah menjadi motif kekalahan kepada Arab Saudi tempohari?