AXA KVL M5: 5 Jaringan Dihasilkan Pada Babak Kedua, PIB FC Terlalu Gah Buat Sala’ O FC

PIB FC

PIB FC meneruskan rentak cemerlang dalam saingan AXA KVL M5 selepas membelasah Sala’ O FC 5-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Perdana, malam kelmarin.

Sala’ O FC yang tewas 11-0 pada perlawanan minggu lalu ditangan Ultimate FC, menunjukkan peningkatan dalam aksi mereka apabila bermula dengan meyakinkan.

20 minit awal permainan menyaksikan Sala’ O FC berjaya menghasilkan dua serangan berbahaya buat pertahanan PIB FC.

Sepakan percuma Mohamad Hairul Hazrein Hasni yang sedikit melewati palang gol serta larian deras Muhamad Safuan Sharudin yang nyata membuatkan pertahanan PIB FC berhempas pulas.

PIB FC yang berjaya mengekang asakan lawan turut mempunyai peluang keemasan pada minit ke-25 selepas Norismaidham Ismail yang menerima hantaran cantik dari sebelah kanan pintu gol Sala’ O FC, menanduk keluar walaupun beliau hanya berhadapan penjaga gol, Muhammad Azreen Sumadi.

Aksi di separuh masa kedua memperlihatkan penguasaan sepenuhnya oleh PIB FC sehingga mereka berupaya mencipta lima jaringan.

Mohamad Fakrul Anuar Muntok hampir membuka tirai jaringan berselang dua minit perlawanan bersambung apabila sepakan dari luar kawasan penalti diledakkan berjaya ditepis keluar Azreen.

Rembatan jarak jauh dari Mohd Rosdi Zakaria pada minit ke-49 juga dinafikan dengan cemerlang oleh Azreen untuk sekali lagi menyelamatkan gawangnya dari dibolosi.

Selepas dua percubaan jarak jauh hampir memberikan kelebihan buat PIB FC digagalkan penjaga gol, rembatan padu Mohamad Faizul Herman dari jarak dekat pula sekadar terkena palang gol.

Jaringan yang dinantikan PIB FC akhirnya menjelma pada minit ke-54 selepas hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol lawan disudahkan dengan tenang oleh Muhammad Huzaini Muhd Ikhram untuk gol pertama perlawanan.

Hanya selepas dua minit berselang, Huzaini terus mempamerkan bisa sentuhannya dengan jaringan kedua peribadi yang menarik hasil rembatan dari sudut sukar yang terus menewaskan Azreen.

Mohd Razren Mohd Jesni menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-61 menerusi tandukan cantik hasil sepakan penjuru dan Fakrul Anuar yang berjaya melepasi perangkap ofsaid meledakkan rembatan padu untuk gol keempat buat PIB FC.

Huzaini melengkapkan hatrik pada masa kecederaan untuk melengkapkan kemenangan 5-0 buat PIB FC yang merakamkan kemenangan ketiga selepas mengharungi lima perlawanan.

Statistik perlawanan

Pemain terbaik perlawanan: Muhammad Huzaini Muhd Ikhram (PIB FC)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN