Meskipun tewas 0-2 kepada UAE dalam aksi persahabatan malam tadi, pengendali skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Bojan Hodak tidak begitu bimbang dengan keputusan itu kerana anak buahnya sudah membiasakan diri dengan corak permainan daripada pasukan timur tengah.
6 hari lagi sebelum sepak mula kejohanan AFC B-19, skuad negara sudah membuat persiapan awal sejak bulan lepas dengan mengadakan kem latihan pusat di Oman dan Qatar.
Dalam siri perlawanan persahabatan dengan pasukan bawah 19 tahun negara lain, anak buah Bojan Hodak tewas 1-3 kepada Qatar sebelum seri 1-1 dengan UAE minggu lepas.
Bercakap kepada Berita Harian, Bojan menjelaskan keputusan perlawanan persahabatan bukan ukuran sebenar kekuatan pasukannya kerana beliau masih menguji kombinasi muka baharu dengan pemain lama.
“Berdepan Qatar, saya tidak menurunkan skuad utama untuk tempoh 65 minit pertama. Apapun saya yakin persembahan kami boleh dipertingkatkan.
“Ketika berdepan UAE pula, saya dapat menyenaraikan barisan pemain terbaik dan kami seri 1-1 sebelum tewas pada aksi kedua.
“Sudah pasti saya tidak risau dengan keputusan perlawanan persahabatan itu kerana kami sedang mencuba formasi yang terbaik buat pasukan. Jadi keputusan itu tidak memberi kesan besar buat kami,” jelasnya.
Bojan turut yakin anak buahnya mampu memberi saingan dalam perlawanan pertama berdepan Arab Saudi setelah mendapat gambaran awal kekuatan pasukan itu.
“Apa yang penting pemain sudah mendapat pendedahan awal untuk berdepan Arab Saudi dan saya percaya kami mampu memberi saingan,” katanya.
Malaysia yang diundi dalam kumpulan D di kejohanan B-19 AFC berada dalam satu kumpulan bersama Arab Saudi, Tajikistan dan China.
Anak buah Hodak akan membuka tirai kejohanan menentang Arab Saudi pada 20 Oktober ini sebelum berdepan Tajikistan dan China (23 dan 26 Oktober). 4 pasukan yang mara ke peringkat separuh akhir akan mendapat tiket beraksi di kejohanan Piala Dunia B-20 tahun depan.