Pertemuan kedua diantara England dan Sepanyol dalam perlawanan peringkat Liga A bagi kumpulan 4 saingan UEFA Nations League 2018 pada awal pagi nanti pastinya bakal menjadi perlawanan tumpuan peminat bola sepak dunia.
Kedua-dua pasukan itu diundi bersama naib juara Piala Dunia 2018 iaitu Croatia dalam Kumpulan 4.
Selepas dua perlawanan, Sepanyol kini mendahului carta kumpulan dengan mengumpul 6 mata hasil dari dua kemenangan sebelum ini.
Mengulas mengenai perlawanan nanti, penjaring terbanyak Piala Dunia 2018, Harry Kane masih tidak mahu mendabik dada dengan peningkatan prestasi cemerlang yang telah dipamerkan pasukan England sebelum ini.
Sebaliknya, penyerang Tottenham Hotspur itu mengakui bahawa kedudukan pasukan England pada hari ini masih berada dibawah Sepanyol dari segi kualiti permainan dan penguasaan bola.
“Kami (England) tewas dalam hal penguasaan bola. Kami dan mereka (Sepanyol) mempunyai kualiti permainan yang berbeza.” ujar Kane menerusi News18.com.
“Perbezaan antara England dan Sepanyol adalah dimana kami mempunyai kepantasan dalam permainan serta berkelebihan dalam pertembungan pemain satu lawan satu.”
“Kelebihan itulah yang akan kami sandarkan dalam pertemuan menentang Sepanyol nanti.”
Tambah Kane lagi, “Perlawanan menentang Sepanyol adalah satu perlawanan yang sukar. Tetapi, pengalaman seperti inilah yang harus kami rasakan.”
Menerusi kedudukan dalam Kumpulan 4, England berada ditangga kedua berkongsi satu mata bersama Croatia selepas kedua-dua pasukan mencatatkan keputusan seri 0-0 dalam perlawanan pada 13 Oktober lalu.
Pertemuan sebelum ini, England terpaksa akur apabila tewas 1-2 kepada Sepanyol di Stadium Wembey pada bulan lalu.
Harry Kane yang merupakan ketua pasukan England pasti mahu menebus kekecewaan dan menamatkan kemarau gol secara peribadi untuk pasukan.
Selepas menjalani 6 perlawanan diperingkat antarabangsa setakat ini, Kane gagal menyumbangkan sebarang gol untuk England.
Penampilan mengecewakan itu sekaligus menyaksikan kemerosotan prestasi terburuk Kane sejak menyertai skuad kebangsaan tersebut sejak tiga tahun lalu.
Beliau dilihat mengalami kemerosotan prestasi selepas berakhirnya kejohanan Piala Dunia di Rusia, sehingga menyebabkan namanya mula dikritik hebat oleh para peminat.
“Ianya amat sukar selepas Piala Dunia kerana tidak mendapat banyak rehat. Tetapi saya fikir saya telah melakukannya dengan baik,” kata Kane.
“Saya hanya perlu memberi tumpuan kepada tugasan dan apa yang perlu saya lakukan,” tambah Kane lagi.
“Di saingan liga, saya menjadi penjaring gol kedua terbanyak (5 gol). Sudah tentu saya mahu menjaringkan lebih banyak gol untuk England.
“Saya telah bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan pada hari Isnin ini, itu pasti,” ujar kapten The Three Lions itu.