Thierry Henry kini sah bergelar pengurus baru kelab bola sepak Ligue 1 Perancis, AS Monaco.
Belum ada pengumuman rasmi dilakukan oleh AS Monco setakat ini, namun menurut ESPN dan L’Eqiupe, perkara itu sudah disahkan oleh sumber dalaman mereka.
Juara Ligue 1 musim 2016/17 itu sebelum ini telah memecat Leonardo Jardim pada awal minggu ini. Henry pula dicanang sebagai pilihan utama untuk mengambil alih.
Sumber kepada ESPN turut mengesahkan bekas bintang Arsenal dan Barcelona itu sudah pun bersetuju dan menandatangani kontrak selama tiga tahun.
AS Monaco dijangka akan mengumumkan pengurus baru mereka itu kepada umum pada Ahad, dan akan ditampilkan kepada para penyokong pada hari berikutnya.
Henry juga dilaporkan sedang sibuk mengendalikan pasukan kejurulatihan yang akan bekerja dengan beliau, sebelum terbang ke Monaco pada hari ini.
Henry bukan watak asing di Monaco apabila memulakan karier profesional dengan kelab tersebut sebelum membantu mereka bergelar juara Ligue 1 pada 1997.
Turut pernah beraksi bersama Juventus, Henry turut pernah berkelana di Amerika Syarikat bersama New York Red Bulls ketika profesion sebagai pemain menuju ke penghujung.
Mempunyai pengalaman sebagai pembantu jurulatih kepada Roberto Martinez, gandingan kedua-duanya berjaya membawa Belgium menduduki tempat ke-3 di Piala Dunia 2018.
Kelibat beliau masih dilihat di Brussel semalam ketika Belgium melayan kunjungan Switzerland dalam pertandingan Nations League.
Nama Henry juga disebut sebagai salah seorang calon untuk menjadi pengurus Aston Villa sebelum kelab Inggeris itu mengumumkan Dean Smith sebagai pengendali baharu pada Khamis lalu.