Tahun 2014, pemain muda Perak The Bos Gaurus, Firdaus Saiyadi telah dibawa terbang ke Australia oleh Pengendali Akademi Perak ketika itu, Marshall Soper.
Firdaus diberi peluang menjalani latihan bersama pasukan Newcastle Jets selama 9 hari.
Dipendekkan cerita, ketika Firdaus menjangkau usia 20 tahun pada 2016, mendiang Karl Heinz Weigang adalah individu terawal yang memberi peluang kepada Firdaus bagi beraksi untuk pasukan utama Perak dalam saingan Liga Super.
Malangnya, ketika satu perlawanan Liga Super 2016 melibatkan pasukan Perak bertemu PDRM yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka, Firdaus didapati positif dadah jenis ‘methamphetamine stimulant’.
Firdaus dan pemain PDRM ketika itu, Mohd Shafiq Jamal (juga bekas penyerang Kedah dan Perak) didapati bersalah dan digantung 2 tahun berkuatkuasa 9 Jun 2016 hingga 8 Jun 2018 oleh FAM.
Tamat penggantungan 2 tahun, karier bola sepak Firdaus berbelah bahagi, Firdaus mendapat tawaran Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC), namun beliau kekal bersama Perak.
Sebagai seorang pemain yang berkeupayaan beraksi di bahagian sayap kanan, Firdaus perlu berebut tempat dengan ketua pasukan, Nasir Baharuddin, selain itu Mehmet Durakovic juga gemar menggunakan Kenny Pallraj sebagai pemain sayap kanan.
Rezeki Firdaus mula muncul apabila ketua pasukan, Nasir Basharudin dilanda kecederaan, sementara Kenny pula bergelut dengan prestasi terbaiknya, Mehmet sekali lagi cuba untuk melakukan ‘eksperimen’ dengan meletakkan Firdaus di posisi sayap kanan.
Tidak terlibat dengan bola sepak secara aktif selama 2 tahun, banyak mengajar Firdaus, peluang diberi digunakan sebaiknya.
Peluang yang diberikan terhadapnya juga bukanlah dalam saingan yang mudah, Firdaus perlu menunjukkan kemampuannya dalam aksi sebesar Piala Malaysia, sebuah kejohanan tertua di rantau Asia.
Namanya mula meniti bibir peminat bola sepak bila aksinya terpapar di kaca televisyen pada aksi kedua suku akhir Piala Malaysia antara Perak bertemu PKNS yang berkesudahan dengan Perak menang 2-0 sekaligus melayakkan ke pusingan seterusnya.
Kelincahannya, tidak kenal erti penat, ada dimana-mana sahaja bahagian sayap, naik membantu serangan, turun menolong pertahanan.
Adakalanya beliau kelihatan langsung tidak kekok membuat hantaran, sedangkan beliau sebenarnya ‘pemain yang sudah 2 tahun tidak memegang bola secara kompetitif’.
Prestasi Firdaus terus memuncak pada aksi pertama separuh akhir di Ipoh, Firdaus berjaya menyumbangkan satu gol menerusi tandukan hasil hantaran Norhakim Hassan untuk gol ke-4 Perak.
Kini, jika Perak layak beraksi di pentas final Piala Malaysia, Firdaus boleh menjadi kebanggaan rakyat Perak malah kisah kebangkitannya boleh dijadikan motivasi buat kita dalam kehidupan seharian supaya jangan mengalah jika ditempa musibah.
Beliau bangkit serta menjadi antara hero buat pasukan Perak khususnya, sedangkan 2 tahun beliau bergelut dengan hidup tanpa bola sepak profesional.
Nota editor: Artikel ini merupakan hasil kiriman pembaca kami yang bernama Abdul Rahim Ayob. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected] .