Analisis: Aidil Sharin, Antara Cabaran Bentuk ‘Kedah Baharu’ Dan Harapan Penyokong

Kedah antara pasukan terawal mengumumkan perancangan untuk musim 2019 setelah jurulatih kelahiran Singapura, Aidil Sharin Sahak diumumkan sebagai ketua jurulatih.

Dengan dibantu oleh bekas jurulatih skuad Piala Presiden yang juga bekas kapten marvel mereka, Victor Andrag, Helang Merah dijangka akan berwajah baharu dan lebih remaja.

Berikut adalah senarai semak daripada Semuanya BOLA buat Aidil Sharin dan juga pengurusan Kedah sebelum bermula cabaran dan saingan Liga Malaysia musim 2019.

Keharmonian pasukan

Desas-desus menyatakan kem Kedah pada musim lalu berantakan dari dalam iaitu di kalangan para pemain sehingga menjurus kepada musim yang sangat suram buat Kedah.

Ianya dikatakan bermula sejak dari awal musim sehinggalah akhirnya satu pendedahan telah dibuat oleh Sandro da Silva yang skuad Kedah sedang melalui masalah dalaman.

FOTO: FARIZ RUSADIO/Kosmo

Aidil Sharin adalah jurulatih yang sangat menitik beratkan keharmonian dalam pasukan sebagaimana yang dipraktikannya di Home United. Jadi, adakah Kedah akan kembali rukun dan damai?

Di Home United, dia terkenal dengan father figure di kalangan jurulatih-jurulatih di Singapura disebabkan dia dikatakan sangat rapat dan senang untuk didekati para pemainnya.

(Photo by Pictobank/Getty Images)

Antara jasanya adalah ‘memaksa’ kelabnya membiayai peralatan pembelajaran anak-anak pemain malah menaja mereka jika ada yang berminat untuk melanjutkan pengajian.

Baginya, pemain akan beri segalanya kepada kelab jika kelab juga menunjukkan keprihatinan kepada hidup luar padang mereka dan menurutnya ia adalah ‘hadiah’ kecil tetapi besar nilainya.

Perbaiki dan kukuhkan benteng

Jika anda mengikuti analisis berkaitan benteng Helang Merah di Semuanya BOLA sebelum ini, jelas yang unit pertahanan perlu diperbaiki dan dikukuhkan pada musim hadapan. Baca ini.

Sama ada rombakan menyeluruh ataupun sekadar memperbaiki kelemahan ketara iaitu posisi pertahanan tengah dan bek kiri. Kemungkinan import berkualiti diperlukan.

Sumber: Penyokong Bola Sepak Kedah.

Selepas Bang Seung-hwan dan kemudian Zac Anderson pula meninggalkan pasukan, Kedah gagal mendapatkan pertahanan import tengah yang mampu menyaingi kedua-dua pemain itu.

Bukan semata-mata meletakkan kesalahan kepada Alvaro, tetapi jelas skuad Kedah memerlukan pertahanan tengah yang berkaliber untuk bergandingan bersama-sama pemain tempatan.

(Photo by David Price/Arsenal FC via Getty Images)

Di Home United, hampir keseluruhan musim ini, Aidil Sharin menggunakan pemain tempatan di benteng, selepas kehilangan pemain import, Sirina Camara, satu fakta yang menarik.

Namun, rekod bolos jelas meningkat selepas mereka kehilangan Camara berbanding pada musim sebelumnya. Tiada bezanya dengan situasi di Malaysia, mungkin Aidil Sharin perlu mencari pemain import untuk bantu benteng pertahanan.

Jangkaan, harapan penyokong dan KEPDA

Kedah dan pandangan penyokong fanatiknya memang tidak dapat dipisahkan. Penyokong sangat berpengaruh sehingga mampu membawa pulang Ramon Marcote pulang ke Darul Aman.

Tetapi atas suara penyokong jugalah, Marcote akhirnya dihantar pulang ke Sepanyol. Mereka kerap menyuarakan pandangan terhadap pengurusan dan juga prestasi para pemain.

Antara pemain yang disingkirkan adalah penyerang, Pablo Pallares, penyerang import yang dikhabarkan ‘mandul’ walaupun telah menyumbang 3 gol daripada 7 penampilannya.

SHAH ALAM 04 NOVEMBER 2017. Gelagat penyokong Kedah sebelum bermulanya perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2017 antara pasukan Kedah menentang JDT di Stadium Shah Alam. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Pembawa suara penyokong Hijau Kuning, walaupun bukan semua mahukan mereka bersuara pastinya adalah Kelab Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman ataupun KEPDA.

Aidil Sharin akan berhadapan dengan kuasa KEPDA ataupun para penyokong fanatik pasukan yang pernah merekodkan sejarah Double Treble sejurus tiba ke Alor Setar nanti.

Berikan peluang buat pemain muda berkembang

Umur bukanlah penghalang. Itu adalah identiti pengurusan di bawah Aidil Sharin. Menurut khabar dari Seberang Tambak, dia tidak mengira status pemain itu, tahap biasa atau kebangsaan.

Buktinya, The Protectors telah melahirkan dua pemain muda berkualiti iaitu Amiruldin Asraf and Iqram Rifqi. Kedua-duanya telah diberikan banyak minit perlawanan untuk membesar.

Ini sangat bersesuaian dengan senario di Kedah, kilang pemain muda Malaysia. Aidil Sharin berpeluang mengenali ramai pemain muda yang mungkin boleh diketengahkan seramai mungkin.

Dengan bantuan kapten Double Treble, Victor Andrag, tugas Aidil Sharin pasti akan mudah untuk mengelaskan pemain-pemain muda yang pernah dibimbing oleh pembantunya itu.

Skuad hebat Kedah yang meraih kejuaraan berganda tersebut telah ditunjangi oleh beberapa pemain muda yang mula bermain untuk Kedah di pentas Sukan Malaysia (SUKMA).

Keluarkan yang terbaik daripada Akhyar Rashid

Berikan penyerang muda, Akhyar Rashid lebih ruang untuk membesar. Itulah tugasan penting buat Aidil Sharin kerana ‘Messi Kedah’ itu kini telah memasuki fasa penting kariernya.

Pada musim 2018, Akhyar cuma mendapat 9 penampilan dalam kesebelasan utama. Berusia 19 tahun, beraksi di setiap peringkat skuad kebangsaan, mungkin dia perlu diberikan lebih peluang.

Kredit: FMLLP, Facebook.

Akhyar telah mula memasuki skuad utama Helang Merah pada 2017 dengan membuat 3 penampilan, satu penampilan di Piala FA dan dua lagi ketika saingan Piala Malaysia 2017.

Dengan diketahui sukakan pemain muda dan pemain yang bekerja keras, Akhyar berpotensi untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan di bawah kendalian jurulatih berusia 41 tahun itu.

Jika Aidil Sharin tidak memberikannya ruang dan peluang yang sepatutnya, bakat anak muda kelahiran Alor Setar itu bakal suram dan seterusnya hilang daripada radar bola sepak negara.

Kejuaraan dan Piala

Selepas beberapa musim menampilkan prestasi yang baik, musim 2018 adalah musim yang paling suram buat Kedah sebagaimana musim 2014, selepas mereka tersingkir ke Liga Premier.

Tan Cheng Hoe adalah insan yang telah mengembalikan Kedah ke landasan yang baik selepas beberapa musim melalui musim sukar. DNA baharu juga telah diterapkan olehnya.

Kedah coach, Tan Cheng Hoe during Final match TM Malaysia Cup 2016 between Kedah and Selangor at Shah Alam Stadium on October 30 2016. Photo by Dzulfadlil Azim / www.asiana.my

Musim ini, mereka telah menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ke-6, tersingkir di pusingan ketiga Piala FA dan terkandas di peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Kejuaraan atau piala adalah indikasi kejayaan sesebuah pasukan dan untuk menarik penyokong untuk berada di belakangnya, Aidil Sharin perlu menghadiahkan sesuatu buat mereka.

Tetapi diharapkan para penyokong, KEPDA dan juga pengurusan memberikan ruang yang selayaknya buat Aidil Sharin mengenali bola sepak di Malaysia terutamanya di negeri Jelapang Padi.

Bukan selepas 5 perlawanan terus kesimpulan dibuat yang dia tidak sesuai melatih skuad bola sepak Kedah.

DNA pasukan

Di era Tan Cheng Hoe, Kedah terkenal dengan gerakan dan hantaran pantas antara pemain-pemain seakan-akan tiki-taka. Banyak kali pasukan lawan di’ayam’kan teknik hantaran mereka.

Taktikal yang diterapkan oleh Cheng Hoe adalah 4-2-3-1 yang dinamik dan fluid. Mungkin sesuai dengan para pemain, Kedah berjaya mempraktikkan gaya permainan tersebut.

Tan Cheng Hoe

Selepas pemergiannya, Kedah bergelut mencari semula apa yang pernah diterapkan olehnya. Marcote dan Nidzam Adha gagal membantu Kedah mengeluarkan yang terbaik daripada mereka.

Aidil diketahui sukakan taktikal menyerang yang seimbang dan akan memburu kemenangan dalam setiap perlawanan yang dilaluinya, tidak mengira apa status pasukan lawan.

Aidil Sharin
Foto: The Straits Times

Walaupun formasi yang digunakannya seringkali diubah mengikut situasi dan kesesuaian perlawanan, Aidil tetap menjadikan ‘menyerang’ sebagai asas utama kepada taktikal pasukannya.

Adakah Kedah akan melalui satu transormasi taktikal dan DNA bola sepak yang selama ini berpandukan kepada ‘manual guide‘ yang telah ditinggalkan oleh Cheng Hoe?

Penutup

Ini antara antara senarai semak yang Semuanya BOLA mampu ketengahkan kepada para pembaca dan juga kepada ketua jurulatih baharu Kedah, Aidil Sharin.

Masalah utama Kedah musim lalu adalah tahap moral sepasukan dan juga keharmonian di kem pasukan seterusnya telah menjejaskan rentak keseluruhan pasukan.

Oleh itu, perkara pertama yang perlu diselesaikan oleh Aidil Sharin adalah memulihkan semula keharmonian pasukan. Mungkin duduk semeja bersama pemain adalah solusinya?

Apa pendapat penyokong Kedah? Bagaimana reaksi KEPDA? Ada perkara lain yang perlu diberikan perhatian oleh Aidil Sharin?

Sila nyatakan diruangan komen pandangan bernas anda kepada kami dan juga para pembaca.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN