Dean Smith diumumkan sebagai pengurus baharu Aston Villa, dengan bekas pemain pertahanan dan kapten England, John Terry turut diumumkan sebagai pembantu beliau.
Smith sebelum ini adalah pengendali Brentford. Selain daripada Smith dan Terry, Aston Villa turut mengambil langkah melantik Jesus Garcia Pitarch sebagai Pengarah Sukan untuk membentuk kumpulan pengurusan berwajah baru di Villa Park.
CEO Villa, Christian Purslow menyifatkan perlantikan ketiga-tiga individu adalah era baharu untuk kelab tersebut.
Smith adalah antara nama yang berada di dalam senarai akhir untuk calon pengurus selepas Steve Bruce dipecat daripada jawatan tersebut.
Namun pengendali berusia 47 itu diakui bukan calon pilihan utama hierarki di Villa Park. Kelab tersebut turut mempertimbangkan beberapa nama yang lebih dikenali seperti Thierry Henry, Brendan Rodgers dan Rui Faria dikatakan antara pilihan awal untuk menggantikan Bruce.
Terry yang mengumumkan persaraan baru-baru ini juga beraksi untuk Aston Villa pada musim lalu. Pada musim lalu, Terry adalah kapten Villa yang tewas kepada Fulham di dalam perlawanan akhir play-off.
Sejak daripada itu, pihak kelab sentiasa ingin membawa Terry yang turut pernah beraksi bersama Chelsea untuk kembali membantu di Villa Park sebagai sebahagian daripada pasukan kejurulatihan.
Smith dikenali sebagai seorang pengurus dengan falsafah bola sepak menyerang, dan pada musim lalu membantu Brentford menamatkan saingan EFL Championship di tangga ke-9.
Di dalam satu kenyataan mewakili Aston Villa, Purslow dipetik sebagai berkata:
We are delighted to announce the appointments of Dean Smith as our new Head Coach, John Terry as Assistant Coach and Jesus Garcia Pitarch as Sporting Director ✍️
Full story ? https://t.co/gNj5QrSa7c#OneOfOurOwn #AVFC pic.twitter.com/HUPSQ8BiDz
— Aston Villa FC (@AVFCOfficial) October 10, 2018
“Perlantikan tiga individu ini adalah permulaan kepada era bari di Aston Villa. Kami gembira mengumumkan perlantikan ini selepas melakukan beberapa pencarian.
“Dean [Smith] ialah seorang jurulatih yang dikenali dengan falsafah bola sepak yang ditampilkan oleh beliau, dan sangat memahami apa yang Aston Villa perlukan. Beliau juga sangat berpengalaman dengan saingan di Championship.
“John [Terry] pula ialah salah seorang pemain yang sangat berjaya dalam bola sepak Inggeris. Beliau mempunyai hubungan baik dengan kelab ini, dan kini sudah bersedia untuk mengambil langkah seterusnya untuk bekerjasama dengan Dean.
“Jesus juga akan membawa pengalaman dan peranan beliau yang pernah menyumbang untuk beberapa kelab utama di Eropah.”
Perlawanan pertama yang akan dikendalikan oleh Smith dan Terry ialah menentang Swansea di Villa Park pada Sabtu ini.