Tonggak pertahanan sisi Liverpool, Andrew Robertson menyifatkan perebutan mahkota Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini tidak hanya terarah diantara The Reds dan Manchester City sahaja.
Kapten skuad kebangsaan Scotland itu melihat Chelsea dan Arsenal juga bakal turut serta dalam persaingan merebut kejuaraan liga paling popular di dunia itu.
Ia turut dibuktikan apabila ketiga-tiga pasukan kini berkongsi 20 mata dengan Manchester City di tangga pertama selepas berkelebihan perbezaan jaringan. Chelsea di tempat kedua manakala Liverpool menghuni tangga ketiga.
Pada perlawanan ke-8 saingan liga, Liverpool mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan bertemu Manchester City di Anfield manakala Chelsea pula berjaya menundukkan Southampton 3-0 hasil jaringan Eden Hazard, Ross Barkley dan Alvaro Morata.
Ketika banyak cakap-cakap yang menyatakan Liverpool bakal menjadi pilihan utama untuk merampas kejuaraan yang dimenangi City pada musim lalu, Robertson menyifatkan saingan masih terlalu jauh untuk diharungi.
”Kami merasakan yang kami mampu untuk bersaing menentang mana-mana pasukan tetapi orang ramai tidak melihat pasukan lain dan menjadikan persaingan diantara dua pasukan.”
”Kami menentang Chelsea pada minggu lalu, dimana mereka merupakan sebuah pasukan yang sangat baik. Mereka juga kini berada dalam prestasi yang hebat.”
”Anda melihat pasukan seperti Arsenal dengan pengurus baharu kini sedang menikmati keputusan yang hebat.”
”Jadi masih terlalu awal dan banyak pasukan yang mampu bersaing tetapi kami berharap agar kami menjadi salah satu daripadanya yang bersaing.”
Selepas mencatatkan dua keputusan seri berturut-turut dalam saingan EPL bertemu Chelsea dan Manchester City, skuad bimbingan Jurgen Klopp itu akan bertemu Huddersfield Town pada 21 Oktober nanti.