Saingan bola sepak tempatan pernah menyaksikan penyertaan beberapa buah pasukan yang berasal daripada unit beruniform dari perkhidmatan awam.
PDRM FA mewakili Polis Di Raja Malaysia. ATM FA pula mewakili Angkatan Tentera Malaysia.
Bola sepak tanah air turut pernah menyaksikan Penjara FC yang mewakili Jabatan Penjara Malaysia.
PDRM FA dan ATM FA adalah dua pasukan dari unit beruniform terawal yang melibatkan diri di dalam saingan Liga Malaysia.
Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia
Persatuan Bola Sepak Angkata Tentera Malaysia (ATM FA) ditubuhkan seawal 1920.
Merupakan antara pasukan bola sepak terawal yang wujud di Malaysia, ATM FA pasti mempunyai lakaran mereka tersendiri dalam kancah bola sepak tempatan.
ATM FA misalnya pernah bergelar naib juara Piala Malaysia sebanyak tiga kali.
Kali pertama tampil di pentas final ialah pada 1949, namun dikecewakan oleh Selangor dengan jaringan 3-2.
Kejayaan ke final diulangi sekali lagi pada 1966. Tetapi Selangor sekali lagi menjadi penghalang buat ATM FA melakar kejuaraan apabila tumpas 1-0 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Merdeka itu.
Kali terakhir ATM FA tampil di aksi final ialah pada edisi 2012, tetapi kali ini dikecewakan Kelantan 3-2 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Shah Alam.
ATM FA turut merangkul kejuaraan Liga Perdana Malaysia pada musim tersebut.
Musim ini ATM FA bersaing di pertandingan Piala FAM, dan telah berjaya layak ke suku akhir Piala Emas Raja-Raja 2018.
Persatuan Bola Sepak Polis Di Raja Malaysia
Persatuan Bola Sepak Polis Di Raja Malaysia (PDRM FA) ialah pasukan bola sepak di bawah seliaan Polis Diraja Malaysia untuk bersaing di liga bola sepak tempatan.
Melalui pencarian yang kami lakukan, PDRM FA mulai mewarnai kancah bola sepak tempatan pada awal 1990 an, dengan bekas pemain negara, Rahim Abdullah sebagai jurulatih pertama mereka.
Pernah muncul naib juara Piala FAM pada 2000, PDRM FA turut pernah bergelar juara Liga Perdana Malaysia sebanyak dua kali.
Pertama kali bergelar juara liga ialah pada 2007, PDRM FA kemudiannya mengulangi kejayaan yang sama pada 2014.
Antara bekas pemain yang pernah menyarung jersi pasukan yang dikenali dengan nama jolokan ‘The Cops’ ini ialah Malek Awab, Mohd Nizaruddin Yusof dan juga Mohd Badhri Bin Mohd Radzi.
Pada musim ini PDRM FA mengakhiri saingan 100Plus Liga Premier di tangga ke-5, selain daripada berjaya melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia.
Penjara FC
Penjara FC adalah kelab bola sepak di bawah naungan Jabatan Penjara Malaysia, dan ditubuhkan secara rasmi pada 11 November 2013.
Pasukan yang turut dikenali sebagai ‘The Pride Waves’ ini mulai bersaing di liga bola sepak tempatan melalui saingan Piala FAM sejak 2015.
Namun demikian Penjara FC menarik diri dari saingan Piala FAM pada musim 2018.
Pada tahun ini Penjara FC menyertai pertandingan Piala Emas Raja-Raja, namun gagal melangkah ke suku akhir selepas sekadar menduduki tangga ke-3 dalam saingan Kumpulan D.
Bomba FA mahu cipta sejarah
Tidak mahu ketinggalan memeriahkan kancah saingan bola sepak tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut menubuhkan Bomba FA pada penghujung bulan lalu.
Sasaran mereka ialah untuk bersaing di dalam pertandingan di bawah naungan Malaysia Football League (MFL) menjelang musim 2020.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Pengarah JPBM, Muhamad Hamdan Wahid dan yakin Bomba FA mampu bersaing sekiranya mengikut perancangan yang dilakukan.
Sehubungan dengan itu, Muhamad Hamdan turut mengesahkan JBPM telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Sukan Malaysia untuk tujuan tersebut.
“Kini kita memiliki Persatuan Bola Sepak Bomba Malaysia dengan nama Bomba FA dan lebih banyak program dirangka bagi pembangunan bola sepak di peringkat jabatan.
“Kita yakin mampu bersaing seperti PDRM dan ATM yang menjadi salah satu pencabar hebat di dalam liga bola sepak profesional tanah air,” katanya.
Sebelum ini Jabatan Bomba memiliki kelab bola sepak Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM FC) yang bersaing di kancah saingan Piala FA Selangor.
Penyertaan oleh Bomba FA di dalam kancah saingan bola sepak domestik diharap boleh membantu memeriahkan lagi saingan bola sepak tempatan.
Kita juga mengharapkan Bomba FA mampu memberikan impak sepertimana yang dihadirkan oleh PDRM FA dan ATM FA atau lebih baik lagi.
Belasungkawa buat 6 anggota JBPM
Bercakap mengenai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, kami warga kerja Semuanya BOLA turut ingin merakamkan ucapan takziah buat enam anggota yang terkorban ketika operasi menyelamat baru-baru ini.
Enam anggota tersebut dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izzatul Akma Wan Ibrahim, 32 ; Mazlan Omar Baki, 25 dan Yahya Ali, 24 dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang.
Dua lagi anggota bomba yang meninggal dunia dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
Dalam kejadian malam Rabu itu, enam anggota terbabit lemas apabila terperangkap dan terbelit tali dalam pusaran air ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa lain yang terjatuh dalam lombong di Puchong.
Jenazah enam anggota tersebut dibawa ke kampung halaman masing-masing selepas selesai solat jenazah di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam di Seksyen 15, di sini, kira-kira jam 9.20 semalam untuk dikebumikan.
Semoga roh mereka dicucuri rahmat serta diletakkan dalam kalangan orang yang beriman dan semoga segala dosa mereka diampunkan Allah.
Al Fatihah.
Nota editor: Artikel ini didedikasikan khas untuk memperingati jasa enam wira negara yang terkorban ketika menjalankan tugas baru-baru ini. Ia juga disunting terlebih dahulu oleh salah seorang editor kami yang beragama Islam sebelum diterbitkan di laman web Semuanya BOLA.