Gara-gara kerana tiba lambat di Old Trafford sehingga memaksa sepak mula perlawanan Liga Juara-Juara menentang Valencia dilewatkan, Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) membuka prosiding disiplin terhadap Manchester United.
Dalam perlawanan itu, United mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang pasukan dari Sepanyol itu, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pengendalinya, Jose Mourinho.
BREAKING: UEFA has opened disciplinary proceedings against @ManUtd over their late team arrival and late kick-off for the Champions League match against Valencia #SSN
— Sky Sports News (@SkySportsNews) October 3, 2018
Kelab gergasi Inggeris itu berdepan tindakan daripada UEFA susulan ‘ketibaan lewat pasukan’ yang melanggar peraturan pertandingan sehingga menyebabkan ‘sepak mula lewat’ menurut kenyataan ringkas dikeluarkan badan induk itu.
Kes berkenaan akan dibicarakan oleh Badan Disiplin, Etika dan Kawalan UEFA pada 18 Oktober ini. Valencia turut didakwa atas sepak mula lewat selain ‘pelanggaran kit perlawanan’ dan nyalaan bunga api yang dilakukan oleh penyokong mereka.
United yang gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan terakhir di gelanggang sendiri dalam semua kejohanan ketika ini ketinggalan sembilan mata di belakang seteru tetangganya Manchester City di puncak Liga Perdana.