Inter Milan yang kembali ke saingan Liga Juara-Juara Eropah selepas kali terakhir beraksi pada musim 2011/12 meneruskan rentak kemenangan selepas berjaya bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan wakil Belanda, PSV Eindhoven 2-1 di Phillips Stadion.
Kemenangan kedua yang diraih selepas turut mencatatkan kemenangan 2-1 ketika menentang Tottenham Hotspur tempoh hari meletakkan anak buah Luciano Spalleti itu kini di tangga kedua Kumpulan B.
Berkongsi enam mata bersama Barcelona namun, dibezakan dengan perbezaan jaringan yang lebih memihak kelab dari Sepanyol itu.
Kemenangan yang dicipta bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila tuan rumah mencipta beberapa peluang yang jelas berjaya menekan Inter Milan.
Usaha anak buah Mark Van Bommel itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-27 selepas Pablo Rosario yang melepaskan rembatan dari jarak jauh berjaya membuatkan penjaga gol Inter Milan, Samir Handanovic terpaku melihat jaringan pertama terhasil.
Radja Nainggolan yang sinonim dengan jaringan dari jarak jauh berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-44 juga menerusi satu rembatan voli cantik.
Ketua pasukan, Mauro Icardi muncul wira buat kelab Milan itu apabila pemain kelahiran Argentina itu yang menerima hantaran terus ke kotak penalti terus melakukan percubaan yang menggegar gawang PSV.
Jaringan pada minit ke-60 tersebut sudah cukup buat Inter Milan untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut sebagai persediaan pada pertemuan menentang Barcelona pada 25 Oktober nanti di Nou Camp.