Jika ada yang mengatakan Real Madrid tewas kerana tanpa Ronaldo, Juventus membuktikan sebaliknya. Bagi mereka, ‘No Ronaldo, no problem’.
Poulo Dybala muncul wira kelab Turin itu apabila menjaringkan hatrik untuk menewaskan kelab dari Switzerland, Young Boys dengan jaringan 3-0.
Ia adalah permulaan sempurna buat Juventus dalam kempen musim ini apabila mencatatkan sembilan kemenangan dari semua pertanndingan setakat ini.
Dybala membuka tirai jaringan ketika perlawanan baru berusia lima minit, apabila pemain itu menyempurnakan hantaran diagonal Leonardo Bonucci dengan satu voli yang cukup kemas.
Penyerang Argentina itu kemudiannya terlepas peluang terbuka setelah gagal menyempurnakan hantaran Federico Bernardeschi.
Namun Dybala tidak melakukan sebarang kesilapan untuk menyempurnakan peluang yang terhidang pada minit ke-33 perlawanan selepas menyambar bola muntah dari dakapan penjaga gol, Von Ballmos yang gagal mendakap kemas percubaan Blaise Matuidi dari jarak 2o meter.
Dybala turut melihat percubaan beliau terkena tiang gol pada babak kedua perlawanan dan turut mempunyai sepakan penalti yang dinafikan pengadil.
Tetapi tidak ada apa yang boleh menghalang Dybala melengkapkan hatrik beliau apabila pemain itu menyempurnakan hantaran Juan Cuadrado dari jarak dekat.
Kemenangan sembilan perlawanan berturut-turut ini bermakna Juventus berjaya memecahkan rekod yang mereka lakukan pada 1930/31 dengan lapan kemenangan.
Juventus turut merekodkan sembilan kemenangan berturut-turut ketika bergelar juara pada 2005/06, namun kejuaraan musim tersebut dilucutkan akibat skandal mengatur perlawanan membabitkan kelab tersebut.
Dybala dan Juventus akan bertandang ke Old Trafford untuk perlawanan seterusnya. Dan kali ini, Cristiano Ronaldo sedia untuk diturunkan jika tidak mengalami sebarang kecederaan.
Saksikan rangkuman perlawanan, dan hatrik Paulo Dybala melalui pautan di bawah: