Skuad bawah 19 tahun (B-19) negara bakal terbang ke Doha, Qatar pada hari Rabu ini (3 Oktober) bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu pasukan kebangsaan Qatar B-19.
Selepas berakhirnya perlawanan persahabatan tersebut, mereka dijadualkan kembali ke tanah air pada 6 Oktober untuk menyambung latihan sebagai persiapan menghadapi Kejohanan AFC B-19 di Indonesia.
Skuad kendalian Bojan Hodak ini akan terbang ke Jakarta, Indonesia pada 17 Oktober bagi memulakan saingan Kumpulan D berdepan Arab Saudi pada 20 Oktober dan Tajikistan pada 23 Oktober, kedua-duanya di Stadium Patriot, Bekasi sebelum bertemu China pada 26 Oktober di Stadium Pakansari, Bogor.
Semalam Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin, sempat meninjau sesi latihan skuad B-19 di Wisma FAM dan memberi taklimat kepada para pemain.
Pasukan ini mula berkumpul untuk kem latihan pusat sejak Selasa lalu (25 September) dan menyasarkan untuk layak ke peringkat suku akhir.
Untuk mencapai misi tersebut, Malaysia perlu memburu slot dua pasukan teratas kumpulan D bagi melangkah ke suku akhir pada 29 Oktober. Empat pasukan yang berjaya memenangi aksi suku akhir akan layak ke separuh akhir lalu menempah tiket automatik ke Piala Dunia B-20 2019 di Poland.
Bojan Hodak hanya membawa 26 pemain ke Qatar. Apa yang menariknya dalam senarai 26 pemain ini adalah, ketika hampir majoritinya berasal dari sistem Piala Presiden dan Piala Belia, terdapat juga seorang pemain yang lahir dari sistem Liga IPT.
Sebelum ini, skuad bawah 19 tahun negara berlepas ke Oman mengharungi 3 aksi persahabatan berdepan kelab divisyen satu Liga Oman bagi menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan dari negara Arab yang mengamalkan gaya permainan pantas.
Pada tiga aksi itu, pasukan negara tumbang di tangan Al Suwaiq FC dengan 0-4 sebelum bangkit dalam aksi kedua apabila menewaskan Oman Club 2-0. Bagaimanapun, rentak itu gagal dipertahankan pada aksi terakhir apabila tumpas 0-1 kepada Muscat Club.
Menurut rekod dalam saingan Kejohanan AFC B-19, pasukan negara pernah mencatat keputusan terbaik dalam kejohanan itu dengan tiga kali muncul sebagai naib juara iaitu pada tahun 1959, 1960 dan 1968.