Setiap tahun pasti akan ada pemain muda yang muncul dan mencuri tumpuan pelbagai pihak.
Dan setiap tahun juga, pemain muda berpotensi ini pastinya akan dikaitkan sebagai jelmaan kepada pemain-pemain ternama seperti Lionel Messi, Neymar dan juga Cristiano Ronaldo.
Situasi ini telah pun terkena kepada pemain muda Manchester City iaitu Phil Foden.
Menurut laman ESPN, Foden mula dikaitkan sebagai jelmaan legenda Barcelona iaitu Andres Iniesta selepas persembahan cemerlang beliau menentang Oxford United dalam aksi EFL Cup.
Pujian itu hadir dari penyokong Manchester City sendiri selepas menyaksikan persembahan memukau pemain itu semalam.
Malah, pengurus pasukan lawan iaitu Karl Robinson turut memuji persembahan cemerlang pemain itu.
Selepas disamakan dengan Iniesta, Foden mengakui dirinya gembira dengan situasi itu.
Akan tetapi, beliau tidak mahu peminat terlalu terbawa-bawa dengan gelaran tersebut sehingga membayangi prestasi pemain itu.
“Untuk dipanggil dengan nama sebegitu sememangnya besar bagi saya. Ia cukup bermakna bagi diri ini.”
Walaupun begitu, Foden sedar pujian itu agak melambung kerana Iniesta adalah pemain yang berada di tahap yang lebih tinggi.
“Saya gembira dengan itu (disamakan dengan Andres Iniesta) tetapi ingatlah, Andres Iniesta itu pemain yang berada di satu tahap yang lain.”
Foden mengatakan beliau akan terus berkerja keras untuk mencapai prestasi yang dimahukan oleh dirinya dan para penyokong.
“Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dan saya akan terus merendah diri untuk memperbaik prestasi.”
“Untuk maju dan matang dalam permainan, kita kena kerap bermain dan saya akan dapat bila saya kerap beraksi.”