Luka Modric masih percaya Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi adalah dua pemain terhebat dunia. Namun demkian beliau berpendapat apa yang dilalui beliau sepanjang kempen musim lalu membuatkan beliau lebih layak untuk menerima anugerah FIFA’s Best.
Pemain tengah Real Madrid dan Croatia itu dinamakan pemenang anugerah FIFA’s Best, menewaskan Ronaldo dan Messi yang langsung tidak berada di senarai akhir pencalonan.
Musim lalu Modric membantu Real Madrid menjuarai UEFA Champions League, sebelum dinamakan penerima anugerah Golden Ball atas prestasi cemerlang beliau bersama Croatia di Piala Dunia.
Modrid dan Croatia mara sehingga ke perlawanan akhir Piala Dunia di Rusia sebelum tewas kepada Perancis.
Kapten skuad kebangsaan Croatia itu tetap menghamburkan pujian kepada dua pemain tersebut, walaupun Ronaldo dan Messi tidak hadir ke majlis FIFA tersebut.
“Saya gembira kerana ada pemain lain yang diberikan pengiktirafan. Gol adalah sangat penting. Apatah lagi untuk pemain seperti Ronaldo dan Messi, kedua-dua nya adalah pemain terbaik dunia,” ujar Modric.
“Tetapi anda juga harus memberi pengiktirafan kepada pemain lain jika mereka turut melalui musim yang bagus.
“Saya gembira anugerah ini menjadi sebegini, dan berharap akan ada lebih ramai pemain tengah atau pertahanan diumumkan sebagai pemenang pada masa depan,” tambah beliau.
Namun demikian Modric turut berkata beliau sanggup menggadai anugerah FIFA’s Best untuk gelaran juara dunia.
“Sudah tentu saya sanggup melakukan apa saja untuk menang di Rusia. Pada saya, pasukan adalah lebih penting dari anugerah individu.
“Tetapi ini masih lagi satu pengiktirafan untuk kerja keras semua pihak, untuk musim yang saya lalui bersama Ream Madrid, dan juga bersama Croatia.
“Saya gembira bila ada pihak mengiktiraf saya sebagai pemain terbaik dunia pada tahun ini,” tambah Modric.