Mohd Firdhaus Azman muncul wira Banting Naga FC selepas jaringan minit akhir permainan yang dihasilkannya membantu kelab dari Banting itu menewaskan Paya Jaras Hiliran FC (PJH FC) 1-0.
PJH FC yang turun buat pertama kali dalam kempen musim ini kelihatan agak gugup pada permulaan babak pertama.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Banting Naga FC bagi mengatur gerakan memburu jaringan.
Lorongan cantik dari Firdhaus Azman berjaya mencari Muhammad Fawayzur Nain Wahid, namun rembatan yang dilepaskan pemain berusia 21 tahun dari Naga FC itu lemah dan mudah ditangkap penjaga gol PJH, Mohd Razif.
Beberapa serangan yang dijelmakan Naga FC masih lagi belum mampu untuk membuahkan hasil akibat penyudah yang tumpul.
PJH yang sesekali berusaha untuk mengancam kubu Naga FC memperoleh peluang terbaik pada minit ke-33 setelah percubaan dari Fawayzur berikutan situasi kelam kabut di hadapan gol terkena palang gol.
Aksi separuh masa kedua memperlihatkan PJH pula beraksi dengan lebih lebih garang apabila melancarkan beberapa serangan yang berbahaya.
PJH terus kecewa setelah rembatan padu yang dilepaskan Khairul Rizal Zamri pada minit ke-54 hanya singgah di tiang gol.
Ketika perlawanan seakan-akan bakal berakhir tanpa jaringan, Firdhaus Azman muncul wira buat Banting Naga FC selepas meledakkan jaringan kemenangan pada masa kecederaan.
Firdhaus yang mendapat hantaran daripada Saravana Kumar dalam kotak penalti, tidak melepaskan peluang melepaskan rembatan bag menghadiahkan tiga mata penuh buat Naga FC.