Cheras Raptors FC berjaya mencuri satu mata pada pertemuan menentang pasukan pilihan, NPNG Damansara Damai FC setelah terikat 1-1 pada perlawanan Selangor Champions League 2018, sebentar tadi di Arena MPSJ.
Separuh masa pertama
NPNG Damansara Damai FC mempamerkan aksi yang lebih kemas berbanding Cheras Raptors apabila mendominasi hampir keseluruhan aksi di babak pertama dengan kawalan permainan yang cukup baik.
Pemain sayap kiri NPNG FC, Ismail Mamat yang mempunyai larian deras terlepas dua peluang keemasan bagi menjaringkan gol.
Dalam dua keadaan yang hampir serupa, Ismail berjaya meluru pantas bagi melepasi kawalan pertahanan Cheras Raptrors.
Bagaimanapun, ledakan menerusi sepakan tonjol yang dilakukan walaupun hanya berhadapan penjaga gol Raptors, Mohd Syamil Baharudin gagal menemui sentuhan jaringan.
Selain daripada gerakan pemain sayap kelahiran Terengganu itu, tidak banyak corak permainan menarik yang dapat disaksikan pada separuh masa pertama.
Separuh masa kedua
Penguasaan NPNG Damansara Damai FC diteruskan sebaik sahaja permainan kembali bersambung.
Ternyata pengalaman serta kepantasan yang dimiliki para pemain skuad yang dibimbing Micheal Palani itu sukar disaingi skuad Cheras Raptors walaupun pasukan lawan tersebut cuba untuk memperbaiki corak permainan.
Disebalik penguasaan yang ditampilkan, Cheras Raptors FC mengejutkan NPNG Damansara Damai FC menerusi jaringan yang terhasil pada minit ke-64.
Jaringan tersebut terhasil selepas hantaran lintang yang dilakukan Aiman Sirajuddin berjaya dikuis oleh pemain gantian, Khairul Anuar Hashim untuk memecah kebuntuan.
Kegembiraan skuad yang berpengkalan di Cheras itu hanya bertahan selama seminit setelah pemain pertahanan kiri NPNG FC, Jihad Ismail kembali menyamakan kedudukan.
Dua jaringan pada lewat permainan itu kekal hingga wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan untuk satu mata berharga buat kedua-dua pasukan.