Universiti Malaya (UM) terpaksa berpuasa hati dengan sekadar 1 mata selepas Universiti Sains Malaysia (USM) menjaringkan gol pada saat-saat terakhir untuk seri 1-1 dalam perlawanan pembukaan Liga IPT di Stadium UKM, Bangi petang semalam.
Skuad UM yang dibarisi oleh dua pelajar antarabangsa paling pantas menyesuaikan diri dengan keadaan padang yang kering dan panas apabila seawal minit 2′ lagi, sepakan penjuru mereka berjaya mencipta situasi panik dalam kotak penalti USM. Bagaimanapun UM gagal memanfaatkan peluang tersebut untuk menguji penjaga gol USM, Hasrizal Azlin.
Meskipun pertahanan USM mempunyai Mohamed Mirza yang berketinggian 6 kaki, mereka masih bergelut untuk mengawal ketenangan di kubu mereka. Beberapa kali UM mengancam menerusi larian penyerang sayap kiri, Yusuf Mohammed hingga mencemaskan USM. Cuma kerap kali hantaran-hantaran terakhir UM di zon final third USM tidak menepati sasaran – sekaligus melegakan pasukan dari Pulau Pinang tersebut.
Pada minit ke-23, penyerang UM, Harrith menceriakan kem pasukannya apabila kegagalan pertahanan USM untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya secepat mungkin menghadiahkan peluang kepadanya untuk menjaringkan gol pembukaan.
Menerima hantaran dari tengah, Harrith mengawal bola dengan baik sebelum melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang langsung tidak dapat diselamatkan oleh Hasrizal Azlin.
USM cuba bangkit selepas itu. Pada minit 32′, larian Fahmi Ibrahim Gunny di sebelah kiri berjaya menembusi pertahanan UM. Bagaimanapun sebelum beliau sempat membuat hantaran lintang dalam kotak penalti UM, pertahanan UM, Mohd Muzammil tampil berani ke hadapan untuk menafikan Fahmi.
Selepas itu, tak banyak peluang berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan. Kelemahan teknik asas, kecelaruan taktikal, kelemahan membuat keputusan betul serta kecenderungan membuat hantaran jauh membuatkan perlawanan menjadi hambar dan mudah dijangka.
USM mempunyai 3 lagi peluang sebelum rehat separuh masa pertama. Tetapi kedua-duanya mudah ditangani oleh pertahanan UM.
Pada separuh masa kedua, USM meneruskan momentum serangan mereka. Tetapi dengan tema separuh masa pertama masih berterusan, peluang yang mereka cipta sering kali gagal apabila sampai ke zon final third. Banyak hantaran-hantaran tidak tepat dilakukan oleh Rasis Abdul Razak, Fahmy Ibrahim Gunny dan Ahmad Nikmall – sekaligus membuatkan tugas pertahanan UM menjadi mudah.
Di kala USM sibuk menyerang, UM masih berpeluang menambah gol. Pada minit 48′, pemain tengah UM, Ezenna hampir-hampir menanduk masuk gol kedua UM daripada sepakan penjuru. Bagaimanapun pertahanan USM sempat mengeluarkan bola sebelum melintasi garisan gol.
Yusuf Mohammed di sayap kanan jelas merupakan outlet utama UM untuk menyerang. Dengan kelajuan lariannya, UM kerap mendapat peluang menguji Hasrizal Azlin. Bagaimanapun teknik percubaan Yusuf kerap kali mengecewakan beliau.
USM pula perlu menyalahkan diri sendiri apabila peluang serangan balas 3v2 pada minit ke 82′ digagalkan oleh kelemahan teknik kawalan bola pemain mereka sendiri. Bagaimanapun Tuhan pastinya mendengari doa mereka apabila sepakan percuma Ahmad Nikmall terbias daripada pertahanan UM dan menewaskan Mohd Irfan pada saat-saat terakhir masa tambahan.
Seri 1-1 merupakan keputusan yang adil buat kedua-dua pasukan. Tetapi UM dan USM mempunyai banyak lagi ruang untuk diperbaiki jika mahu mencabar dominasi UiTM dalam Liga IPT 2018.
Pemain terbaik perlawanan: Mohamed Mirza (USM)
Keputusan lain