Disebalik usaha agresif FC Serayan pada separuh masa kedua, CNA FC tenang menghadapinya untuk melakar kemenangan 2-0 dalam AXA KVL M5 di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) malam semalam.
Ketika kedua-dua pasukan bergelut menyesuaikan diri dengan keadaan padang yang basah dek hujan, FC Serayan terlebih dahulu mengancam melalui Shaza Badri. Menerima hantaran dari Hasriq Harun pada minit 10’, Shaza bertindak bijak menewaskan 2 pertahanan CNA sebelum melepaskan rembatan yang melencong melepasi luar tiang kiri gol.
2 minit kemudian, Shaza terlibat sekali lagi dalam satu serangan balas FC Serayan. Beliau bertindak berlari ke dalam selepas menewaskan bek kiri CNA, Wan Muhammad Izzat sebelum menghantar bola ke laluan Hasriq yang merembat dari jarak 20 ela. Percubaan Hasriq bagaimanapun sedikit tinggi melepasi palang.
Pada minit 16’, CNA mendapat permulaan yang sempurna. Berpunca daripada pertukaran haluan hantaran pantas CNA dari kanan ke kiri yang mengelirukan FC Serayan, J. Thanasegaran berjaya mengawal bola dengan baik untuk melepaskan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol FC Serayan, Azmi Zulkiflee.
Penyerang sayap kiri FC Serayan, Nor Amirul Syamir berpeluang untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada 6 minit kemudian. Bagaimanapun percubaannya terbias dengan pertahanan CNA sebelum terkena tiang.
Apabila perlawanan menuju ke penghujung separuh masa pertama, CNA mula menonjolkan dominasi mereka. Pressing yang intensif serta teknik kawalan bola yang baik membolehkan mereka menguasai jentera tengah – dengan Darshen Ganesan menjadi konduktor utama mereka.
Hasilnya pada minit ke-27, CNA memperolehi satu lagi peluang untuk menggandakan kelebihan gol mereka. Tetapi percubaan Badrulamin Abdul Karim tersasar beberapa inci sahaja dari tiang kanan gol FC Serayan.
Masuk separuh masa kedua, FC Serayan mula menggandakan asakan dan memperlajukan tempo permainan untuk mencari gol penyamaan. Bagaimanapun teknik kawalan bola yang lemah mengecewakan mereka.
Sebaliknya CNA pula yang menjaringkan gol seterusnya. Berpunca daripada satu serangan balas di sayap kanan, Basyir Ahmed tidak membuat kesilapan untuk merembat masuk gol kedua CNA pada minit 41’.
Ketinggalan 0-2, FC Serayan semakin agresif menyerang dengan menghantar 4 penyerang untuk mencemaskan kubu pertahanan CNA. Tetapi serangan FC Serayan sering digagalkan sendiri oleh sikap terburu-buru pemain mereka melakukan hantaran sehingga mudah hilang penguasaan bola dan memberi peluang kepada CNA untuk menyerang balas.
Hanya selepas 28 minit menyerang pada separuh masa kedua, barulah FC Serayan mempunyai satu percubaan tepat ke arah gol. CNA pula cuba memperlahankan tempo permainan dan bertahan sehinggalah wisel penamat dibunyikan untuk pulang dengan 3 mata.
Statistik perlawanan
Pemain terbaik perlawanan: Darshen Ganesan (CNA FC)