Bekas penyerang berbisa skuad liga super Perak kini ditahan oleh pihak polis kerana disyaki terlibat dalam beberapa kejadian samun bersenjata dengan rakannya.
Menurut laporan daripada Berita Harian, beliau melakukan aktiviti menyamun sejak Februari lalu dan ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dalam dua serbuan berasingan antara 11.30 malam hingga 1 pagi semalam.
Difahamkan bekas pemain yang berusia 32 tahun dan rakannya berusia 33 tahun melakukan kegiatan samun menggunakan senjata terhadap dua wanita masing-masing berusia 20 tahun pada Februari lalu.
Malah, pelajar perempuan berusia 23 tahun itu mengalami kerugian apabila kehilangan beberapa barang peribadi termasuk kad kredit serta wang tunai berjumlah RM200 dan beg tangan berjenama bernilai RM1,500 di Jalan Leong Kim Seng dalam kejadian samun pada jam 4.40 petang Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, mengesahkan kedua-dua suspek tersebut telah ditahan oleh pihaknya.
#ipoh Seorang bekas pemain bola sepak Perak ditahan malam kelmarin kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian samun bersenjata bersama rakannya sejak Februari lalu. https://t.co/z6KedO2Xmf
— Harian Metro (@hmetromy) September 19, 2018
Katanya, dalam kejadian pada jam 11.10 malam itu, kedua mangsa didatangi dua lelaki sebelum mengacukan pisau dan mengugut supaya menyerahkan beg tangan.
“Dalam kejadian itu mangsa kehilangan pengenalan peribadi serta kerugian dua telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,340,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata berikutan itu, kedua-dua suspek ditahan malam kelmarin dalam dua serbuan berasingan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan sama di beberapa lokasi di bandar raya ini.
“Dalam serbuan itu, turut dirampas empat telefon bimbit, sebuah motosikal dan sebatang besi.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Siapakah pemain Liga Super Perak yang dimaksudkan itu? Jika benar, ia merupakan pemain pertama yang terlibat dalam jenayah berat dan memberi imej buruk kepada Persatuan Bolasepak Perak.