Penjaga gol Watford, Ben Foster beranggapan David De Gea merupakan Lionel Messi bagi posisi penjaga gol selepas aksi yang dipamerkannya di Vicarage Road awal pagi semalam.
Perlawanan tersebut menyaksikan Manchester United meraih kemenangan 2-1 hasil jaringan Romelu Lukaku dan Chris Smalling pada babak pertama.
Gol saguhati Watford pula disumbangkan oleh Andre Gray pada minit ke-65.
David De Gea yang dikritik hebat persembahannya pada Piala Dunia 2018 dan saingan awal Liga Perdana Inggeris seolah-olah kembali mendapat sentuhannya ketika ini.
Beliau berjaya menafikan empat peluang terbaik yang dimiliki The Hornets antaranya serangan berbahaya dari Christian Kabasele dan Troy Deeney.
”Dia (David De Ge) merupakan Messi buat penjaga gol. Dia juga merupakan penjaga gol terbaik di dunia untuk beberapa tahun ini.”
”Dia benar-benar cemerlang sekarang ini. Beberapa kali dia berjaya menyelamatkan keadaan di saat kritikal yang begitu menakjubkan.”
”Dia selalu melakukan perkara ini setiap masa. Ia seperti tidak peduli sama sekali.”
”Tetapi serius, dia sangat cemerlang. Penjaga gol hebat dan jika ada mana-mana penjaga gol muda di luar sana yang mahu belajar bagaimana cara untuk menjadi penjaga gol boleh melihat aksi David De Gea.”
”Dia seorang yang berkelas dunia.”
Ketangkasan De Gea dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah bakal diuji pada hari Khamis ini apabila Manchester United akan bertemu Young Boys di Switzerland.
The Red Devils kemudiannya bakal menanti kunjungan Wolverhampton Wanderers pada hujung minggu dalam saingan Liga Perdana Inggeris.