Aksi malam bagi hari kedua minggu pertama Selangor Champions League 2018 menyaksikan pasukan Duta ZXIV menentang Kajang AZS FC dalam saingan kumpulan B.
Duta ZXIV mencatatkan kemenangan selesa apabila berjaya menang dengan jaringan 4-1 dengan Medina Mbeguere menyumbat empat gol pada perlawanan ini.
Penyerang berbisa Duta ZXIV, Medina hanya memerlukan tiga minit sahaja bagi membocori gawang Kajang AZS.
Pemain kelahiran Senegal itu mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang yang dilorongkan pemain sayap lincah, Rinmon Ngo dari sebelah kiri pintu gol lawan.
Disebalik kehadiran Medina dan Jacque Faye yang menjadi nadi buat Duta ZXIV, kelincahan Rinmon jelas memukau penonton dengan larian deras yang sering dilakukan.
Kegembiraan ZXIV tidak bertahan lama apabila kapten Kajang AZS, Faizal Rahman meledakkan sepakan percuma cantik pada minit ke-10.
Jaringan tersebut seolah-olah menjadi pembakar semangat buat Duta ZXIV yang kembali bernafsu mengancam kubu Kajang AZS.
Pada minit ke-33, Medina sekali lagi menemui sentuhan jaringan selepas beliau yang menerima hantaran jauh dari Hakeem Badri, menanduk masuk bola melepasi jangkauan penjaga gol, Khairil Asyraf Roslan.
Medina melengkapkan hatrik selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-58.
Rupa-rupanya tiga jaringan masih belum mencukupi buat Medina apabila satu lagi gol berjaya dicetak penyerang berbisa itu pada lewat permainan.
Berpunca daripada hantaran lintang yang dilakukan Syahmi Aminudin, dengan tenang Medina menanduk masuk bola bagi menambah jaringan keempat.
Duta ZXIV akan bertemu Klang Valley United pada minggu hadapan manakala Kajang AZS bakal menanti cabaran KRU Port Klang FC.