Gombak FC mencipta kejutan pada aksi kumpulan A Selangor Champions League 2018 selepas berjaya menundukkan Puchong Fuerza 1-0 di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Separuh masa pertama
Puchong Fuerza FC yang diperkuatkan dengan kehadiran beberapa orang pemain yang pernah mewarnai kancah Liga Malaysia iaitu Afiq Azmi, Syamim Othman, Saufi Ibrahim dan Norismaidham Ismail mempamerkan aksi yang lebih tersusun pada awal permainan.
Dua sepakan percuma yang diperolehi pasukan dari Puchong ini pada minit ke-2 dan 5 hampir menghasilkan jaringan.
Namun, ketangkasan penjaga gol Gombak United yang berusia 18 tahun, Shahrul Iman Ahmad Shukri menafikan dua percubaan terbaik tersebut.
Gombak FC yang membariskan skuad termuda dalam saingan Selangor Champions League 2018 kembali memperkemaskan aksi dalam usaha memberikan saingan buat Puchong Fuerza.
Dua peluang terbaik yang dimiliki skuad muda ini bagaimanapun mudah diselamatkan penjaga gol berpengalaman, Syamim Othman.
Pemain tumpuan, Afiq Azmi yang diharapkan menjadi sandaran utama Puchong Fuerza bagi memburu jaringan masih gagal menjelmakan impak positif yang diharapkan.
Separuh masa kedua
Raja Muhammad Iman Haikal Raja Radzmi melenyapkan sorakan penyokong Puchong Fuerza buat seketika.
Ia berikutan rembatannya hasil kesilapan pertahanan pada minit ke-51 berjaya menewaskan Syamim Othman untuk gol pertama buat Gombak FC.
Puchong Fuerza yang terdesak untuk memburu jaringan penyamaan berusaha keras mengasak ke kubu Gombak FC.
Serangan demi serangan yang dicipta Puchong Fuerza masih berjaya diserap dengan baik oleh penjaga gol serta pertahanan Gombak FC yang kental mengawal kubu mereka dari dibocori lawan.
Tekanan yang diberikan Puchong Fuerza semakin memuncak apabila pemain pertahanan Gombak FC, Danish Bulqqinie Mat Zaharin diperintah keluar padang akibat kekasaran yang dilakukannya di luar kotak penalti.
Bagaimanapun kelebihan itu masih gagal digunakan oleh Puchong Fuerza bagi mengelak daripada tewas pada perlawanan ini untuk keputusan penuh 1-0 memihak Gombak FC.