Pasukan Johor dan Terengganu akan berhadapan dengan hukuman berat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas insiden pergaduhan dalam perlawanan peringkat kumpulan di SUKMA.
Perlawanan yang penuh dengan aksi panas itu berakhir dengan kemenangan tipis 2-1 kepada Terengganu, dan berlangsung di Stadium UPSI di Tanjung Malim pada Isnin lalu.
Kejadian menjadi kecoh pada babak akhir perlawanan menyaksikan pemain kedua-dua pasukan berada di luar kawalan cuba mencederakan lawan masing-masing.
Pengadil perlawanan, Mohd Afiq Ahmad Nadzir melayangkan dua kad merah untuk kedua-dua pasukan. Mohamad Shafawi Mohamad dan Mohammad Rahmat Makasuf dari Terengganu, manakala pemain Johor yang menerima nasib yang sama ialah Mohamad Hariz Kamarudin dan Nur Ismail Sukandar.
Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata pihak komiti turut menyerahkan kes berkenaan untuk tindakan lanjut FAM.
Jawatankuasa disiplin turut sudah memohon laporan dan penjelasan dari kedua-dua pasukan berkenaan insiden tersebut.
“Jawatankuasa ini akan menilai laporan dan akan memutuskan tindakan selanjutnya,” ujar Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
“Kami kesal perkara ini berlaku, walaupun pernah berlaku di kejohanan SUKMA sebelum ini. Kami mengharapkan pemain dan pegawai pasukan mengutamakan semangat kesukanan dan kawal emosi masing-masing untuk mengelakkan kejadian memalukan yang boleh merosakkan nama baik negeri dan sukan.
“Saya juga mahu mengingatkan agar pegawai pasukan memastikan setiap aduan dibuat menggunakan saluran yang betul. Jangan biarkan emosi mengawal setiap pertimbangan kita,” ujar beliau lagi.