Pengurus skuad kebangsaan England, Gareth Southgate memuji sumbangan yang diberikan Marcus Rashford.
Hal ini kerana jaringan tunggal pemain berusia 20 tahun itu berjaya membantu England meraih kemenangan pada perlawanan persahabatan bertemu Switzerland awal pagi tadi di Stadium King Power.
King Power Stadium merupakan gelanggang rasmi buat pasukan Leicester City.
Di samping gembira dengan aksi yang ditampilkan Rashford, Southgate turut menyatakan bahawa pemain muda itu bakal menjadi pemain ternama di dunia.
Rashford sebelum ini menjaringkan gol tunggal buat England pada perlawanan bertemu Sepanyol dan kali ini beliau terus cemerlang bagi menghadiahkan kemenangan 1-0 buat The Three Lions.
Southgate ternyata gembira dengan sumbangan yang telah diberikan pemain bahagian serangan Manchester United itu dengan berkata:
”Saya sangat gembira buat Rashford lebih dari segalanya.”
”Kami tahu betapa menariknya dia dan kami juga tahu dia akan menjadi pemain yang ternama di dunia, dia mempunyai mentaliti yang ‘super’ dan dia begitu hebat untuk melakukannya.”
”Dia berjaya menghasilkan dua jaringan pada minggu ini, beberapa ketika persembahannya bersama kami adalah sangat baik tetapi untuk menyudahkan dua peluang terbaik ini adalah sangat penting buat dirinya sendiri.”
Dengan kualiti yang dimiliki Rashford, sememangnya tidak mustahil buat beliau untuk menjadi pemain ternama di dunia pada satu hari nanti.