Video pergaduhan yang melibatkan pasukan Sukan Malaysia (Sukma) Johor dan Terengganu menjadi perbualan utama peminat bola sepak semalam.
Reaksi ‘tidak profesional’ yang ditampilkan pemain kedua-dua pasukan memperlihatkan aksi ganas dengan serangan ala kungfu serta tumbukan menghiasi insiden ‘kurang sihat’ buat bola sepak itu.
Namun, menurut sumber Johor Southern Tigers (JST), Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Alistair Edwards jelas kecewa dengan kualiti pengadilan pada perlawanan tersebut.
Alistair menegaskan bahawa pengadil perlawanan enggan memberikan sepakan penalti buat Johor walaupun sudah tiga kali bola terkena tangan pemain Terengganu dalam kotak penalti.
”Kami sangat kecewa dengan kualiti pengadil dalam acara seperti Sukma ini yang sepatutnya menjadi kejohanan yang amat berprestij.”
”Tetapi kualiti pengadil benar-benar sangat teruk dan mereka juga gagal mengawal perlawanan sehingga timbul pergaduhan antara kedua pasukan ketika memasuki masa akhir perlawanan.”
Oleh hal demikian, Alistair Edwards mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) lebih teliti berhubung isu kualiti pengadil ini.
”Oleh itu saya menggesa agar FAM agar memerhatikan pengadil dan ‘standard’ pengadil yang mereka sediakan untuk kejohanan ini.”
Perlawanan tersebut dimenangi Terengganu dengan keputusan 2-1 yang memaksa Johor tersingkir awal daripada saingan bagi merebut pingat emas acara bola sepak.
Pada aksi sulung di sukan dwitahun yang berlangsung di Perak itu, Johor kecundang 1-0 ketika bertemu Wilayah Persekutuan.