Pemain bek sayap Chelsea, Victor Moses telah berkongsikan rutin harian beliau di Pusat Latihan Cobham dalam satu temuramah bersama laman web rasmi Chelsea FC.
Menurut pemain berusia 27 tahun kelahiran Nigeria itu, beliau akan sampai awal ke pusat latihan kelab tersebut kira-kira jam 8.30 pagi dan dikhabarkan latihan pasukan bermula pada jam 10.30 pagi.
Ini bermakna Moses akan sampai dua jam lebih awal sebelum bermulanya sesi latihan.
”Saya akan datang ke pusat latihan sedikit awal, dalam lingkungan jam 8.30 pagi. Saya akan bersarapan di rumah dan kemudiannya terus bergerak ke Cobham.”
”Telur hancur dan roti menjadi pilihan saya ketika sarapan.”
”Setibanya saya disana, saya akan pergi untuk mendapatkan urutan dan ke gimnasium bagi menghabiskan masa untuk membina kembali otot-otot saya.”
”Selepas itu saya hanya berehat dan menonton televisyen sebelum sesi latihan pasukan bermula.”
Pemain skuad kebangsaan Nigeria ini juga turut berkongsikan bahawa beliau amat selesa dengan keadaan cuaca persekitaran latihan yang tidak terlalu panas dan juga tidak hujan.
Selepas tamat sesi latihan pasukan pula, Victor Moses akan kembali ke bilik rawatan untuk sekali lagi menerima urutan.
”Selepas tamat sesi latihan, saya akan kembali ke bilik rawatan untuk melakukan urutan. Selepas itu saya akan ke kolam renang dan kemudian mandi air panas untuk proses pemulihan.”
”Kadangkala saya akan ke gimnasium tetapi bukanlah pada setiap masa.”
Sebelum pulang ke kediamannya pula, Moses lebih gemar menikmati makan tengahari di Cobham. Pasta dan ayam serta beberapa jenis sayur-sayuran sering menjadi sajian pilihan buatnya untuk dinikmati.
Begitulah rutin harian yang dilakukan oleh salah seorang pemain bola sepak profesional terkenal dunia. Semoga ianya dapat diikuti para pemain di Malaysia.