Keinginan Barcelona mendapatkan Griezmann bukannya rahsia lagi. Ini kerana musim lalu pihak Barcelona secara terbuka menyatakan minat mereka ke atas Griezmann.
Ianya telah membuatkan Atletico memberikan amaran akan melaporkan perkara itu kepada FIFA.
Barcelona juga dikatakan mengosongkan jersi no.7 musim lalu untuk Griezmann. Namun pemain itu membuat keputusan untuk kekal di Atletico.
Keputusan yang membuatkan beberapa media pro-Barcelona mengutuk Griezmann.
Barcelona sedia membayar klausa perlepasan €100 juta (£89 juta) dalam kontrak Griezmann. Selepas itu mereka terpaksa melupakannya.
Griezmann mengakui sukar untuk menyatakan tidak kepada tawaran Barcelona namun beliau yakin ianya pilihan yang tepat untuk kekal di Atletico, tempat beliau disayangi peminat.
“Ianya seperti anda berada di rumah sendiri apabila anda disayangi di sini. Anda pun merasakan tak mahu pergi ke tempat lain.”
“Di kelab ini, mereka melakukan apa sahaja untuk membuatkan para pemain terasa seperti di rumah sendiri. Ini termasuk menandatangani beberapa pemain hebat untuk membentuk pasukan mantap.”
“Saya merasakan diri saya adalah asas kepada semua ini, menjadi kepingan penting dalam puzzle. Itu yang membuatkan saya kekal di sini.”
“Ianya sukar untuk menyatakan tidak kepada Barca, tetapi, jujurnya, saya baik-baik sahaja di sini.”
“Inilah rumah saya, dan saya mahu melakukan perkara yang hebat.”
Griezmann berbangga dengan kejayaan menjuarai UEL bersama Atletico dan kemudiannya menjuarai Piala Dunia.
Griezmann yang terlepas senarai finalis 3 teratas untuk FIFA Best 2018, yakin beliau akan berada dalam finalis 3 terakhir Ballon d’Or 2018.
Beliau menjangkakan dia akan berada dalam senarai finalis Ballon D’or di samping Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sekali lagi.
“Kita tahu, Messi dan Ronaldo akan berada di situ (senarai akhir).”
Beliau juga teruja dengan perkembangan Kylian Mbappe. Pemain muda yang menggerunkan ramai, menurut beliau lagi.
“Dia sangat kuat dan fokus beliau adalah berlari ke arah gol. Beliau sudah memperbaiki aspek itu dan kurang tersekat di bahagian sayap.”
“Jika beliau terus memperbaiki aspek larian ke dalam kawasan gol, beliau boleh menjaringkan 50 gol semusim.”
Griezmann juga pecaya, Mbappe mungkin akan menjadi pencabar Ballon D’Or pada musim ini.