Pengendali skuad kebangsaan Sepanyol, Luis Enrique yang baru sahaja mengemudi La Roja melihat Sergio Ramos sebagai calon ketua pasukan pilihannya.
Enrique melabelkan Ramos, yang juga merupakan ketua pasukan Real Madrid sebagai ‘yang terpilih’ selepas pertemuan pertama mereka.
Cabaran utama Enrique selaku pengurus Sepanyol adalah pertemuan pada Ahad ini apabila mereka akan berdepan cabaran England dalam saingan Nations League.
Pengalaman luas dimiliki Sergio Ramos sedikit sebanyak memberikan kelegaan buat Enrique selepas Gerard Pique dan Andres Iniesta sudah pun mengumumkan persaraan dari menyarung jersi Sepanyol.
”Menjadi ketua pasukan dalam skuad kebangsaan adalah kerana antara kalangan pemain antarabangsa, anda merupakan pemain yang mempunyai personaliti yang sangat tinggi.”
Apabila anda melihat dia (Ramos) bersaing, dia memahami dia adalah seorang pemain yang terpilih, dia sudah tahu mengetahui perkara ini.”
”Dia merupakan pemimpin yang hebat dalam apa jua situasi. Saya gembira dengannya. Saya mengharapkan tahap yang tinggi tetapi dalam keadaan ini dia telah melepasinya (jangkaan saya).”
Luis Enrique dilantik sebagai pengurus baharu skuad kebangsaan Sepanyol selepas Julen Lopetegui dipecat beberapa hari sebelum Piala Dunia 2018 bermula.
Tugasan di Piala Dunia tempoh hari telah disandang Fernando Hierro dan kini tibalah masa buat bekas pemain tengah Barcelona itu untuk membuktikan sesuatu buat pasukan La Roja ini.