Harry Maguire mencipta nama bersama skuad England ketika Piala Dunia 2018 di Rusia tempoh hari.
Dek kerana persembahan cemerlang beliau bersama skuad kebangsaan, Maguire mendapat perhatian beberapa kelab di Premier League.
Salah satunya adalah Manchester United.
Namun begitu, beliau tidak menyertai pasukan tersebut sebaliknya memilih untuk terus kekal di Leicester City.
Menurut laporan Sky Sports, Maguire memilih untuk kekal di Leicester City adalah kerana beliau masih terhutang budi dengan kelab tersebut.
Maguire mengakui menerima banyak tawaran dari kelab-kelab lain untuk mendapatkan khidmat beliau selepas Piala Dunia.
Namun beliau masih mahu kekal di Leicester City kerana budi yang diberikan oleh kelab itu yang menyelamatkan karier pemain tersebut.
Leicester City menyelamatkan karier Maguire yang terancam selepas kelab sebelumnya iaitu Hull City jatuh dari Premier League ke EFL Championship.
Juara Premier League 2016 itu kemudiannya mendapatkan Maguire dan kini beliau menjadi pemain utama di barisan pertahan kelab itu.
“Mereka memberikan peluang kepada saya untuk kekal bermain di Premier League selepas tersingkir bersama Hull City.”
“Saya cukup gembira di sini, dapat bermain setiap minggu itu merupakan perkara penting bagi saya.”
Menurut Maguire, beliau menghormati keputusan kelab untuk tidak melepaskan dirinya ke pasukan lain.
Ini cukup ketara kerana Manchester United cukup berminat untuk mendapatkan beliau.
“Saya berbincang dengan Leicester City mengenai tawaran yang diterima oleh saya selepas Piala Dunia.”
“Mereka menegaskan untuk tidak menjual saya ke pasukan lain dan saya hormati keputusan itu.”