Peneraju aplikasi jualan tiket acara sukan dan hiburan, Stubapp memperkenalkan kiosk mesin jualan tiket fizikal yang dibangunkan bersama Malsic Technology Sdn Bhd.
Demostrasi penggunaan kiosk jualan tiket berkenaan turut disaksikan oleh Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md Ikshan yang menjadi tetamu kehormat ke Kuala Lumpur Youth Football Fiesta, beberapa bulan yang lalu.
Menurut pengasas dan ketua pengarah operasi Stubapp, Faisal Karim tujuan mesin jualan tiket berkenaan diperkenalkan adalah untuk menyelesaikan keluhan peminat sukan yang mahu membeli tiket secara atas talian, namun tidak mahir dengan perkhidmatan perbankan online dan tidak mempunyai kad kredit.
“Kami sering mendapat feedback dari pengguna yang ia agak susah bagi mereka membeli tiket dari apps kami kerana terpaksa membeli kredit MOL Pay secara tunai di kedai serbaneka, sebelum boleh membuat pembayaran dalam aplikasi kami,” jelas Faisal.
Menurut Faisal lagi, kehadiran mesin jualan tiket fizikal benar-benar dimahukan oleh penyokong bola sepak tempatan kerana ia lebih meyakinkan bagi mereka yang masih sangsi dan ragu-ragu dengan kes-kes penipuan pembelian tiket atas talian.
Mengulas mengenai pembelian tiket melalui aplikasi Stubapp, Faisal berkata,
“Terdapat juga sebahagian masyarakat yang tidak gemarkan tiket yang diberi secara digital kerana mereka perlu mencetak sendiri tiket tersebut, dan ada juga yang tidak gemar mendapat tiket yang hadir dalam system barkod kerana kurangnya ‘feel’ kerana mereka tidak boleh menyimpan tiket tersebut sebagai kenang-kenangan.”
Kini pengguna hanya perlu pergi ke kiosk berkenaan dan memilih jenis tiket dan kawasan tempat duduk yang dikehendaki melalui skrin sentuh yang disediakan.
Selepas mengesahkan pembelian, pengguna boleh membayar harga tiket berkenaan menggunakan wang tunai atau transaksi perbankan online dan tiket akan dicetak selepas proses pembayaran selesai.
Antara kelebihan lain yang dimiliki oleh kiosk berkenaan adalah ia membenarkan penyokong bola sepak membeli tiket beberapa minggu lebih awal dari yang dijual di kaunter tiket biasa.
Malah, ia juga menggunakan interface yang mudah untuk digunakan selain pembelian mampu dilakukan tanpa menggunakan wang tunai.
Stubapp adalah aplikasi pintar yang khusus dalam penjualan tiket, yang mengutamakan penjualan tiket acara sukan dan hiburan.
Stubapp kini telah menyediakan perkhidmatan ini kepada lebih 100 acara bola sepak professional dan acara hiburan dengan lebih 100,000 tiket terjual. Aplikasi Stubapp di peranti iOS dan android juga telah dimuat turun lebih 25,000 kali di Apps Store dan Google Play.
“Kami bercadang untuk meletakkan mesin ini di Stadium Cheras, Kuala Lumpur untuk sesi percubaan apabila sistem ini benar-benar sedia kelak, sebelum memperluaskan penggunaannya di lokasi-lokasi lain di seluruh negara” kata Faisal sebelum mengakhiri sesi demostrasi berkenaan.
Ikuti video demostrasi pembelian tiket di kiosk Stubapp di sini:
CARA PEMBELIAN TIKET BOLA DI MASA DEPAN!
Cool juga bila boleh beli tiket bola berminggu lebih awal, gaya pulak mudah macam bayar parking- tapi lebih canggih. Nak beli pakai apps boleh, pakai kiosk @Stubapp pun boleh.
Apa pandangan korang? Cuba share sikit.#SemuanyaBOLA pic.twitter.com/1jcwYuAJhT
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) September 3, 2018