Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mahu memastikan pasukannya mengutip 3 mata penuh ke atas FELCRA FC dalam aksi pusingan kedua Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
Beliau mengakui lega apabila mengetahui tonggak importnya, Andrew Lee Tuck atau digelar sebagai ‘Rooney Ganu’ kembali memperkuatkan skuad penyu itu selepas selesai menjalani hukuman penggantungan 1 perlawanan.
“Ketiadaannya ketika bertemu FELCRA tempoh hari sedikit terasa biarpun pemain lain mampu memikul tugasan itu, tapi dengan kembalinya Tuck yang begitu rajin pasti menambah kekuatan di posisi tengah,” kata Irfan Bakti kepada Berita Harian
Malah, jurulatih yang berpengalaman itu sudah mengenal pasti kelemahan pasukan FELCRA FC dan tekad memastikan kemenangan menjadi milik mereka untuk menempah tiket ke suku akhir.
“Kita sudah mengenal pasti dan mengetahui corak permainan mereka. Begitu juga mereka tahu permainan kami selepas aksi pusingan pertama di tempat sendiri, jadi saya jangka pertembungan ini sudah pasti menarik kerana masing-masing mahukan kemenangan bagi mencerahkan laluan ke suku akhir.
“Justeru strategi berbeza akan diterapkan, selain perlu berwaspada dengan taktikal lawan dan apa yang saya harapkan pemain mampu bermain seperti dirancang,” katanya.
TFC yang kini memimpin Kumpulan A dengan tujuh mata dilihat belum selamat untuk melangkah ke suku akhir kerana tiga lagi pasukan termasuk FELCRA, Kuala Lumpur dan Perak masih berpeluang mengintai dua kedudukan teratas kumpulan untuk mengiringi lapan pasukan terbaik ke suku akhir.