Pertembungan awal pagi esok bakal menemukan dua kelab terkenal dalam saingan Serie A apabila SS Napoli akan menanti kunjungan AC Milan di Stadio San Paolo.
Lebih menarik, pertembungan itu bakal menyingkap nostalgia buat kedua-dua pengendali iaitu Carlo Ancelotti dan Gennaro Gattuso.
Dua individu mempunyai reputasi yang cukup gah di era kegemilangan AC Milan pada satu ketika dahulu.
Gattuso bertindak selaku pemain yang cukup kental di atas padang manakala Ancelotti sebagai jeneral (pengurus) yang merencana strategi buat The Rossoneri sekitar tahun 2001 hingga 2009.
Antara kenangan manis yang dikecapi mereka adalah membawa AC Milan menjulang dua kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah ketika itu.
Pertarungan strategi dua pengurus berlainan generasi sudah pasti menarik untuk disaksikan pengakhirannya.
Menurut sumber Goal, Gattuso membayangkan perlawanan bertemu pasukan bimbingan bekas ‘sifu’ beliau akan menjadi satu aksi yang sukar.
”Ia akan menjadi perlawanan yang sukar buat kami. Saya telah bercakap dengan Carlo (Ancelotti) semalam.”
”Carlo dan saya mempunyai hubungan yang sangat hebat. Dia merupakan seorang yang lebih daripada seorang pengurus buat saya, saya akan menghubunginya ketika saya sedang menghadapi masa sukar.”
”Saya hanya boleh belajar daripadanya.”
”Media mengatakan kami mempunyai karakter yang berbeza tetapi ketika sebagai pemain, Carlo merupakan seorang pejuang, orang terakhir yang akan menyerah diri.”
”Sebagai jurulatih (pengurus) dia sama seperti Nereo Rocco (bekas pengurus AC Milan yang hebat).”
”Dia akan berbual bersama para pemain selepas sesi latihan, tinggal bersama mereka dan saya tidak pernah mendengar walau seorang mengatakan sesuatu yang buruk tentang Carlo.”
Kredit foto: carloeancelotti.it