Hari ini genap setahun dua hari kembalinya hero Atletico Madrid, Fernando Torres ke Vincente Calderon. Kami masih ingat betapa meriahnya sambutan yang diberikan oleh 45,000 penyokong Atletico ketika menyambut kepulangan Torres.
Menurut media Sepanyol, Diego Simeone sendiri yang mahukan Torres (yang pernah menjadi kaptennya) balik ke Atletico Madrid.
Tetapi hari ini, ia adalah hari Simeone memberitahu media bahawa ‘Torres tidak akan berada dalam perancangannya pada musim depan’.
Keputusan dipengaruhi transfer ban
Dengan Atletico Madrid yang bakal dikenakan larangan mendaftar pemain baru (transfer ban) bermula musim panas 2016 nanti, mereka hanya mempunyai masa sehingga Isnin depan (1 Februari 2016) untuk membuat keputusan sama ada ingin menandatangani Torres secara kekal atau tidak.
Bagaimanapun dalam pertemuan antara Simeone, Torres dan ketua eksekutif, Miguel Ángel Gil Marín semalam, Simeone memberitahu Torres bahawa beliau tidak berminat dengan Torres.
Torres jelas mahu kekal di kelab kesayangannya. Tetapi dengan hanya 2 gol dalam 1100 minit permainan, Torres nyata bukanlah penyerang tajam yang Simeone cari untuk musim akan datang.
Pada musim lepas, Torres bermula dengan baik apabila menjaringkan gol ketika menentang Real Madrid dan Barcelona.
Manakala gol beliau ketika menentang Levante dan Villareal membolehkan Atletico menduduki tangga ke-3 La Liga pada musim lepas.
Tetapi selepas itu, persembahan beliau kembali suram.
Tak capai jangkaan Simeone
Diego Simeone pernah memberitahu media mengenai kekecewaannya terhadap prestasi Torres sebelum perlawanan menentang Valencia pada Oktober 2015 yang lepas.
“Torres dan Jackson (Martinez) kedua-duanya baru menjaringkan 2 gol setakat ini. Tanpa ragu lagi, saya mahu mereka perbaiki prestasi mereka kerana ia tak capai jangkaan saya dan mereka sendiri.”
Penjaring terbanyak Atletico Madrid setakat ini adalah Antoine Griezmann, dengan 12 gol. Ketika ini, Atletico berkongsi 48 mata dengan pendahulu liga, Barcelona yang kekurangan 1 perlawanan.
Bakal ke Asia?
30 Jun 2016 nanti akan menandakan tamatnya kontrak pinjaman Fernando Torres dengan Atletico Madrid. Ia juga akan menandakan tamatnya kontrak beliau dengan AC Milan, kelab yang meminjamkan khidmatnya kepada Atletico.
Dengan Torres yang bakal menjadi free agent pada musim panas 2016 nanti, ditambah pula dengan kejatuhan sahamnya di Eropah, mungkinkah kita akan menyaksikan aksi Torres di Asia pula selepas ini?
Baca juga: Analisis Taktikal: Real Madrid 1-0 Atletico Madrid