Korea Selatan meredakan tekanan buat seketika selepas berjaya menundukkan Iran 2-0 pada perlawanan peringkat 16 terbaik Sukan Asia 2018 malam tadi di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang Indonesia.
Tekanan yang dimaksudkan adalah seperti yang diketahui umum apabila sekiranya skuad ini gagal membawa pulang pingat emas, kesemua pemain perlu untuk menyertai ‘military service’ selama dua tahun termasuk bintang mereka, Son Heung-Min yang masih belum menyertai latihan tersebut.
Korea Selatan yang diletakkan sebagai pasukan pilihan telah menunjukkan corak permainan baik dengan Son dilihat sebagai sandaran utama bagi meraih kemenangan.
Usaha bertali arus Korea akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-40 selepas Hwang Ui-Jo melakukan percubaan yang menembusi gawang Iran apabila menerima hantaran dari Hwang Imbeom dari sebelah kanan.
Aksi di babak kedua juga memperlihatkan semangat juang tinggi bagi Korea untuk terus menggandakan kedudukan.
Lee Seung-Woo menamatkan sisa perjuangan Iran dengan jaringan kedua pada minit ke-55 dengan gerakan menarik yang dicipta sekaligus meledak rembatan dari luar kotak penalti bagi menghampakan Iran.
Dua jaringan tersebut sudah cukup buat Korea Selatan bagi meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir dan mereka dijadualkan akan bertemu Uzbekistan pada hari Isnin nanti.
Kredit foto: AFC & AFP