Peluang wakil England, Burnley bagi melayakkan diri ke peringkat kumpulan Liga Europa 2018/19 berdepan laluan sukar selepas mereka tunduk 3-1 di tangan Olympiakos di Karaiskaki Stadium.
Anak buah Sean Dyche ketinggalan seawal minit ke-19 selepas pemain tuan rumah, Konstantinos Fortounis meledakkan sepakan percuma menarik yang sekaligus membolosi kawalan penjaga gol, Tom Heaton untuk jaringan pembukaan.
Burnley berjaya kembali merapatkan kedudukan pada minit ke-33 selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila Mohamed Mady Camara melakukan kekasaran terhadap Chris Wood dalam kotak penalti.
Wood yang mengambil sepakan tidak berdepan masalah untuk menewaskan Andreas Gianniotis bagi membawa bekalan jaringan gol di tempat lawan.
Dua jaringan dari situasi bola mati itu kekal hingga tamat babak pertama.
Memasuki babak kedua, juara 44 kali Liga Greece sekali lagi di hadapan ketika perlawanan baru sahaja empat minit bersambung.
Berpunca daripada sepakan percuma dari sebelah kiri pintu gol Burnley, Andreas Bouchalakis bijak menggunakan peluang yang dimiliki untuk menanduk masuk bola bagi jaringan kedua.
Pelawat terus dirundung malang setelah hantaran yang cuba dilakukan Camara ke dalam kotak penalti terkena tangan Ben Gibson yang memaksa pengadil perlawanan turut menghadiahkan sepakan penalti buat Olympiakos dan Gibson turut dilayangkan kad kuning kedua mengakibatkan pertahanan tengah itu diperintah buang padang.
Fortounis dengan tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk menggandakan kedudukan dan perlawanan berakhir dengan keputusan 3-1.
Kedua-dua pasukan akan kembali bertemu pada 31 Ogos nanti bagi menentukan pasukan yang bakal layak ke peringkat kumpulan Liga Europa musim ini.