Di era bola sepak moden pada hari ini, kebanyakan pemain bola sepak memiliki gaya mereka tersendiri yang mencerminkan personaliti diri masing-masing.
Baik dari gaya rambut, pakaian sehinggalah cara bagaimana mereka meraikan jaringan gol.
Berikut kami kongsikan kepada pembaca, 7 gaya meraikan gol yang tular dan menjadi ikutan para peminat pada hari ini;
1. The Dybalamask (Paulo Dybala)
Selepas #Dybalamask menjadi ‘trending’ di media sosial, Paulo Dybala akhirnya mengungkap persoalan daripada para peminat mengapa dirinya meraikan gol dengan gaya menutup separuh dari wajahnya.
Menurut sumber dari Goal, pemain berusia 23 tahun itu telah menjelaskan perkara tersebut dilaman facebook miliknya.
“Dybalamask sangat mudah: ianya melambangkan topeng seorang gladiator!”
“Apabila kita dalam perjuangan, kadang-kadang kita harus memakai topi seorang pahlawan agar kita menjadi lebih kuat, tanpa hilang senyuman dan kebaikan dalam diri kita! ”
2. Take The L ‘Fortnite’ (Antoine Griezmann)
Antoine Griezmann merupakan salah seorang pemain bola sepak yang sentiasa menjadi tumpuan disetiap momen-monem aksinya diatas padang.
Bukan sahaja memiliki wajah yang tampan dan corak pemainan yang memukau, Griezzy turut dikenali dengan gaya unik meraikan jaringan gol.
Selain gaya tarian ‘Hotline Bling’, bintang Atletico Madrid ini juga turut terkenal dengan tarian ‘Take The L’.
‘Take The L’ yang dipersembahkan oleh beliau diadaptasi daripada sebuah permainan video berjudul Fortnite.
Griezmann mengakui bahawa Fortnite telah memberi inspirasi kepada dirinya untuk melakukan gaya tersebut.
“Dua terakhir dari saya (keraian gol) datang dari permainan di PS4 berjudul Fortnite, yang dimainkan oleh semua kanak-kanak.”
“Jadi saya fikir, saya mahu mencubanya.” ujar Griezmann menerusi akhbar TheSun.
3. Mbappé Celebration (Kylian Mbappé)
“Dia berdiri dengan tangannya terlipat serta membuat raut wajah yang tenang.”
Itulah gaya yang dipersembahkan pemain muda terbaik Piala Dunia 2018, Kylian Mbappé apabila beliau berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan.
Menurut Mbappé, gaya tersebut diilhamkan dari adiknya, Ethan.
Ianya berlaku semasa mereka berdua bermain permainan video FIFA dan ketika itu Ethan telah memenangi pertembungan tersebut.
Ketika ditemubual oleh media Perancis Lequipe, beliau berkata, “Sebenarnya, gaya itu bukan datang dari saya. Ianya bermula dari adik saya.”
“Ketika itu kami sedang bermain Playstation.”
“Dia (Ethan) melakukan hal itu saat dia berjaya menewaskan saya di game FIFA.” kata Mbappé.
4. The Hotline Bling (Antoine Griezmann)
Sebelum tarian ‘Take The L’ dipersembahkan oleh Griezmann, beliau terlebih dahulu meraikan jaringan golnya dengan gaya yang disebut ‘The Hotline Bling’
Penyerang Atletico Madrid itu mendakwa bahawa tarian tersebut diinspirasi dari aksi rapper terkenal Kanada iaitu Drake menerusi tariannya dalam lagu berjudul, Hotline Bling.
“Gaya ini adalah dari tarian Hotline Bling’ video muzik Drake.”
“Saya mula melakukan itu (Hotline Bling) di Atletico.”
“Kemudian semasa bertemu Albania dan Ireland, saya terlalu emosi selepas menjaringkan gol.”
“Jadi saya teringat untuk melakukan itu (Hotline Bling).” kata Griezmann.
5. Siiii!!! (Cristiano Ronaldo)
Cristiano Ronaldo telah tampil melebihi 700 perlawanan dalam pelbagai pertandingan yang berbeza sama ada bersama kelab mahupun pasukan kebangsaan.
Bintang Portugal itu terkenal dengan pelbagai gaya meraikan jaringan gol.
Yang paling menjadi ikutan dan ‘trending’ diseluruh dunia ketika ini adalah gayanya yang berlari dan melompat memutarkan badan di udara.
Kemudian akan mendarat dengan merentangkan kedua-dua tangan seperti bentuk huruf V yang terbalik.
Gaya Ronaldo itu menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak di dunia. Bukan itu sahaja, pemain-pemain profesional juga turut meniru aksi yang dipersembahkan Ronaldo itu apabila mereka menjaringkan gol.
6. ‘Dele Alli Celebration’ (Dele Alli)
Gelagat bintang Spurs, Dele Alli yang meraikan jaringan gol dengan melakukan bulatan jari dimatanya selepas beliau berjaya menjaringkan gol ketika menentang Newcastle United telah menjadi popular di seluruh dunia.
Aksi Alli itu telah mendapat perhatian para peminat serta pemain-pemain di EPL yang turut mahu menyahut cabaran dari beliau dengan menggunakan tanda pagar #DeleAlliChallenge.
Pemain Manchester United, Jesse Lingard terlebih dahulu memulakan cabaran tersebut dengan memuatnaik video di laman di Instagram miliknya.
Lingard memulakan cabaran itu dengan meletakkan #JlingzChallenge yang kemudiannya menjadi ikutan pemain-pemain lain.
Baca juga: Video: Pogba, Materazzi, Balotelli Antara Yang Sahut Dele Alli Challenge, Nkodou Hancur
7. The Dab (Paul Pogba & Jesse Lingard)
Fenomena ‘dabbing’ atau ‘dab’ telah melanda seluruh dunia, tidak terkecuali Malaysia.
Trend mengangkat tangan kiri di atas sambil kepala ditunduk rapat ke bahu tangan kanan menjadi kegilaan ramai orang sehingga ada yang membuat gaya tersebut sewaktu bergambar.
Berdasarkan laman web whatstrending.com, ‘dab’ atau ‘dabbing’ dipercayai bermula sekitar tahun 2002 dan ia tular sejak ia dipersembahkan oleh bintang Perancis, Paul Pogba ketika beliau bersama Juventus.
Tarian tersebut terus dipersembahkan oleh beliau ketika berhijrah menyertai pasukan Manchester United di EPL.
Namun, menurut sumber dari Essentiallysports, Jesse Lingard merupakan pemain pertama yang membawa gaya The Dab tersebut ke dunia bola sepak Inggeris.
Apabila Pogba menyertai United, maka tarian itu dicetuskan oleh kedua-dua pemain apabila salah seorang dari mereka menjaringkan gol.
Di La Liga, pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos turut melakukan tarian itu.
Beliau dilihat melakukan tarian The Dab selepas menjaringkan gol kemenangan pasukannya menentang Deportivo de La Coruna.
Bagaimanapun, terdapat sesetengah negara yang mengharamkan tarian tersebut dilakukan di negara mereka. Antaranya seperti Arab Saudi yang mengenakan hukuman berat kepada mana-mana individu yang cuba mempersembahkan aksi tersebut dikhalayak ramai.