Kecederaan paha yang menimpa tonggak skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Akhyar Rashid ketika menentang Bahrain pada peringkat kumpulan acara bola sepak Sukan Asia beberapa hari lepas telah mencemaskan kem negara.
Beliau mengalami kecederaan itu ketika dimasukkan sebagai pemain gantian ketika skuad muda negara tewas 2-3 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.
Walaubagaimanapun, pemain muda Kedah itu yakin kecederaan yang menimpanya tidak begitu serius dan sempat pulih sebelum bertemu Jepun di pusingan kalah mati pada hari esok.
“Kecederaan ini tidak begitu serius dan saya percaya akan pulih menjelang aksi menentang Jepun.
“Apa pun, jurulatih akan tentukan sama ada saya akan turun beraksi atau tidak kerana sudah pasti kita semua mahukan pasukan terbaik dalam aksi itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Akhyar berharap rakan-rakan sepasukan tidak memandang rendah pasukan Jepun yang menghantar skuad bawah 21 (B-21) sepenuhnya dalam temasya edisi ke-18 itu.
“Rata-rata pemain mereka memiliki kemahiran dan teknik yang cukup bagus meskipun masih muda.
“Stamina mereka memang cukup tinggi tetapi kita boleh menyaingi mereka sekiranya menggunakan corak permainan pantas seperti menentang Korea Selatan,” katanya.
Jika mereka berjaya menewaskan Jepun, China atau Arab Saudi bakal menanti di peringkat suku akhir. Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sempat bertemu China dalam aksi persahabatan sebelum ke Sukan Asia. Mereka tewas tipis 1-2 dimana Akhyar menjaringkan gol pertamanya.