Norwich City mewarnakan bilik persalinan pasukan pelawat dengan warna serba-serbi merah jambu, bertujuan untuk merendahkan kadar testosterone pemain lawan. Warna merah jambu sering dikaitkan untuk menenangkan orang.
Pihak kelab enggan memberikan komen lanjut mengenai perkara itu walaupun penyokong diberikan penjelasan sedemikian dalam satu forum pada Khamis lalu.
“Warna merah jambu sentiasa akan memberikan kesan. Bukan kerana warnanya, tetapi ia juga berkaitan dengan pengalaman zaman kanak-kanak,” ujar Dr Alexander Latinjak yang merupakan pakar psikologi sukan dari University of Suffolk.
“Jika benar merah jambu akan menurunkan tahap testosterone, maka pengurus Norwich City sepatutnya tahu bagaimana untuk mengambil kesempatan untuk menang.”
Mewarnakan bilik persalinan warna pink bukan pertama kali dilakukan di dalam sukan. Sebelum ini pasukan University of Iowa turut pernah melakukan taktik yang sama untuk memberikan tekanan kepada lawan di dalam sukan American Football.
Ideanya ialah supaya pemain lawan lebih tenang, kurang bersemangat dan tidak agresif apabila paras testosterone pemain tidak tinggi.
Dalam dua perlawanan di Carrow Road pada musim ini, Norwich City telah tewas 4-3 kepada West Bromwich Albion sebelum menewaskan pasukan Leagur Two, Stevenage 3-1 dalam pertandingan Piala Carabao.
Maka langkah yang diambil oleh Norwich City ini sememangnya boleh dipersoalkan keberkesanannya.
“Secara peribadi, saya tidak akan membuang masa untuk menukar warna keseluruhan bilik persalinan lawan kepada warna merah jambu. Ada banyak cara lain lagi untuk menang dalam perlawanan,” tambar Dr. Latinjak.
“Sekarang pasukan lawan sudah tahu mengapa warna bilik persalinan diwarnakan merah jamnu. Sudah tentu mereka juga boleh mengambil langkah pencegahan jika benar ia menurunkan kadar testosterone.”
“Lebih dari itu, ia mungkin menjadi bahan jenaka pemain lawan. Dan ia pasti akan menjadi motivasi bagi mereka untuk menafikan teori tersebut,” ujar beliau lagi.
Kisah ini agak kelakar, namun ia benar-benar terjadi. Ia turut mengingatkan kami kepada Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan yang diwarnakan merah jambu ketika era Datuk Seri Vida menjadi penaja utama pasukan Kelantan FA.
Mungkinkah prestasi pasukan Kelantan FA di tempat sendiri akan lebih baik pada musim ini jika warna merah jambu itu ditukar?