Skuad bawah 23 (B-23) negara gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tewas 3-2 ditangan Bahrain pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang semalam.
Datuk Ong Kim Swee melakukan rombakan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan E ini apabila merehatkan sebahagian besar pemain yang beraksi ketika bertemu Korea Selatan tempoh hari untuk memberi peluang kepada barisan simpanan.
Tetapi malangnya, barisan kedua yang diharapkan itu gagal memikatnya dan beliau mengakui kecewa dengan prestasi beberapa pemain yang dilihat tidak mencapai standard barisan utama.
“Ia keputusan yang tidak bagus, saya tidak gembira dengan satu atau dua pemain yang diberi peluang. Mereka tidak memberikan komitmen yang diharapkan.” katanya kepada Berita Harian.
Begitupun, apa yang dibuat Kim Swee dilihat wajar berikutan kerja keras dilakukan skuad utamanya yang sebelum ini cemerlang menewaskan Kyrgyzstan 3-1 serta Korea Selatan 2-1.
“Pemain-pemain perlu tingkatkan lagi persembahan mereka jika ingin merebut peluang membarisi kesebelasan utama untuk pusingan 16 bola sepak Sukan Asia berdepan Jepun, Jumaat nanti.”
Kim Swee juga turut menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kecederaan dan kecergasan Akhyar tetapi ia perlu dinilai dulu menjelang aksi menentang Jepun.
“Paling penting, saya risaukan tentang kecederaan Akhyar Rashid yang masuk sebagai pemain gantian dan dilihat bergelut pada penghujung perlawanan.
“Saya tidak pasti sejauh mana serius kecederaan itu tetapi kami amat memerlukannya dalam aksi seterusnya berdepan Jepun,” kata Kim Swee.
Sementara itu, ketua pasukan, Baddrol berpendapat kurang persefahaman dengan barisan pemain simpanan merupakan punca sebenar kenapa skuad negara mempamerkan aksi longlai semalam.
“Untuk aksi semalam, ramai pemain simpanan yang diturunkan dan seluruh pasukan memberikan aksi 100 peratus tetapi tiada rezeki kami. Kami lebih fokus untuk aksi pusingan kalah mati berdepan Jepun,” katanya.
“Kami akan melihat aspek yang perlukan pembetulan dan mungkin jurulatih akan memberi teguran untuk pemain-pemain mempersiapkan diri ketika berdepan Jepun.
“Kami lebih fokus untuk menentang Jepun kerana mereka telah dibentuk dalam tempoh yang lama. Kami akan memberikan persembahan 100 peratus dan mungkin kesebelasan utama akan kembali sambil mengharapkan satu lagi keajaiban berlaku.” katanya kepada Stadium Astro.