Manchester United gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tumpas 3-2 kepada Brighton and Hove Albion dalam aksi kedua saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung di the American Express Community Stadium .
Kekalahan yang menimpa skuad United itu jelas telah memberi tamparan hebat buat Jose Mourinho, sekaligus mencalarkan reputasinya sebagai antara pengurus terbaik di Eropah.
Menurut rekod, ini bukanlah kekalahan memalukan yang pertama dihadapi oleh pengurus kelahiran Portugal itu.
Berikut merupakan 5 siri kekalahan yang boleh dianggap memalukan yang dihadapi Jose Mourinho sepanjang kariernya bergelar sebagai pengurus profesional.
1. Barcelona 5-0 Real Madrid (29/11/2010)
Pertembungan ‘El Clásico’ pada tahun 2010 telah menjadi mimpi ngeri buat skuad Real Madrid apabila mereka dibelasah Barcelona 5-0 di Stadium Nou Camp.
Xavi Hernandez meletakkan Barcelona mendahului seawal minit ke-10 melalui gerakan menarik Andres Iniesta.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Jose Mourinho melakukan strategi baharu dengan melancarkan serangan melalui Cristiano Ronaldo dan Angel Di Maria.
Meskipun banyak gerakan dilakukan dari sayap serangan pasukan, Real masih gagal memecah benteng pertahanan Barca yang dipimpin oleh Carles Puyol.
Sebaliknya, Barcelona terus memberi tekanan buat Real apabila Pedro Rodriguez menjaringkan gol kedua pada minit ke-18 sekaligus memadamkan terus semangat kebangkitan Real ketika itu.
Pada babak kedua, Barca semakin mengganas. Kali ini giliran David Villa menggegarkan gawang menerusi penyudah cantik selepas menerima hantaran Lionel Messi pada minit ke-54.
Villa sekali lagi berjaya memecahkan benteng Real untuk gol keempat tiga minit kemudian apabila dengan mudahnya melepaskan bola menewaskan Iker Casillas.
Pemain gantian, Jeffren Suarez melengkapkan kemenagan bergaya Barca dengan menghadiahkangol kelima pada masa kecederaan di separuh masa kedua.
Mengulas selepas perlawaan, Mourinho sebagai berkata, ”Anda harus mempunyai perwatakan, jika anda kalah dengan lima gol, anda tidak boleh terus menangis sebaliknya perlu bekerja keras pada perlawanan akan datang.”
”Sesiapapun tidak mahu kalah dengan jaringan sebesar ini. Saya ada bercakap dengan beberapa pemain dan memberitahu mereka musim ini masih belum berakhir walaupun kita kalah besar hari ini.
”Tahun lalu, saya pernah meninggalkan tempat ini dengan kekalahan dan beberapa bulan kemudian, di sini juga saya membawa pasukan Inter mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara, siapa tahu itu akan berlaku lagi pada musim ini, ” kata Mourinho dipetik dari sumber Telegraph
2. Chelsea 4-0 Manchester United (23/10/2016)
Beraksi di Stamford Bridge tidak dapat memberi tuah buat Jose Mourinho yang hadir sebagai pengurus baharu Manchester United.
Beliau yang dilantik sebagai pengurus United bagi menggantikan Louis van Gaal, pada mulanya bertekad untuk membalas dendam keatas pihak pengurusan The Blues yang memecatnya pada Disember 2015.
Namun, kepulangan Mourinho ke Stamford Bridge dihadiahkan dengan kekalahan ‘memalukan’ apabila pasukan bimbingannya apabila ditewas 0-4 di tangan Chelsea.
Pedro Rodriguez, Gary Cahill, Eden Hazard dan N’Golo Kante masing-masing menjaringkan satu gol.
Kerana ingin menjaga kedudukannya sebagai pengurus, Mourinho telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa punca kekalahan tersebut adalah disebabkan kesilapan yang dilakukan oleh pemainnya.
Menurut laporan dari TheGuardian, Mourinho menuduh pemainnya melakukan banyak kesilapan sehingga menyebabkan rentak permainan dan strategi berubah.
“Pemain melakukan kesilapan pertahanan yang menakjubkan, kesilapan-kesilapan individu, dan kami dihukum disebabkan itu.”
“Kami meletakkan diri kami dalam keadaan di mana kami memberikan Chelsea permainan yang mereka inginkan.”
3. Borussia Dortmund 4-1 Real Madrid (24/04/2013)
Skuad bimbingan Mourinho menerima kekalahan mengejutkan apabila dibelasah wakil Jerman, Borussia Dortmund 1-4 pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah 2013 di Signal Iduna Park.
Penyerang sensasi, Robert Lewandowski meledakkan kesemua empat gol buat Dortmund, sementara satu gol Real disumbangkan oleh Cristiano Ronaldo.
Mourinho yang mendapat jolokan `Special One’ amat malu dengan kekalahan tersebut dengan menyifatkan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku buat pasukan gergasi seperti mereka.
4. Tottenham 5-3 Chelsea (02/01/2015)
Spurs berjaya menamatkan badi tanpa kemenangan bertemu Chelsea apabila berjaya menewaskan pasukan itu dengan keputusan 5-3.
Harry Kane, Danny Rose, Andros Townsend dan Nacer Chadli menjadi wira pasukan apabila berjaya mencatat nama sebagai penjaring membantu pasukan mereka ‘mengaibkan’ ego pengurus The Blues, Jose Mourinho yang sebelum ini memandang rendah akan kemampuan Spurs.
Sementara tiga gol Chelsea disumbangkan oleh Diego Costa, Eden Hazard dan John Terry.
Kekalahan keatas Spurs itu menyebabkan skuad bimbingan Jose Mourinho terpaksa berkongsi mata dengan pesaing terdekat, Manchester City.
5. Chelsea 0-3 Middlesbrough (11/02/2006)
Middlesbrough mengamuk di laman sendiri selepas membelasah Chelsea 3-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2005/06.
Kekalahan terburuk itu menyebabkan Jose Mourinho tidak dapat bersemuka dengan para pemainnya selepas tamat perlawanan.
Beraksi di Stadium Riverside, pasukan tuan rumah tidak menunggu lama apabila menghasilkan jaringan pertama menerusi Fábio Rochemback di minit ke-2 perlawanan.
Gol kedua skuad Steve McClaren tercipta pada penghujung babak pertama perlawanan menerusi percubaan cantik Stewart Downing yang mudah menewaskan pengaja gol Chelsea, Petr Cech.
Yakubu Aiyegbeni turut mencetak nama selaku penjaring Boro apabila berjaya memperdayakan pertahanan The Blues sebelum merembat kencang kearah kiri gawang, sekali gus menghasilkan gol ketiga pada minit ke-68.
Sehingga berakhir perlawanan, keputusan 3-0 tersebut tidak berubah tanpa sebarang jaringan oleh kedua-kedua pasukan.